Keanggunan, keyakinan serta kecintaan terhadap warisan budaya tempatan membolehkan Yasmin Soffiya muncul sebagai juara Kategori C (12 hingga 17 tahun) dalam pertandingan akhir Miss Heritage Sarawak yang berlangsung di Plaza Merdeka, Kuching baru-baru ini.
Kejayaan gadis remaja itu diraih menerusi persembahannya yang memukau dalam busana istimewa bertemakan Warisan Kalunan: Echoes of the Sacred River, hasil ciptaan pereka bumiputera berbakat, Jun Udan.
Penampilan yang sarat dengan elemen budaya Orang Ulu itu berjaya menarik perhatian para juri dan penonton, sekali gus membuktikan warisan budaya tempatan mampu diketengahkan melalui fesyen moden yang elegan dan berprestij.
Busana yang diperagakan oleh Yasmin diinspirasikan daripada kekuatan, keindahan dan kekayaan budaya masyarakat Orang Ulu yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
Lebih daripada sekadar gaun malam kontemporari, rekaan tersebut melambangkan penghormatan terhadap identiti budaya yang terus hidup dan berkembang seiring dengan perubahan zaman.
Mengambil ilham daripada aliran sungai yang menjadi nadi kehidupan serta penghubung masyarakat Orang Ulu sejak sekian lama, rekaan itu menampilkan gabungan harmoni antara elemen tradisional dengan moden.
Sulaman manik yang halus berasaskan motif etnik Orang Ulu menghiasi keseluruhan busana dengan penuh teliti, melambangkan perpaduan, ketahanan dan hubungan erat antara manusia, alam sekitar dengan warisan nenek moyang.
Siluet gaun yang anggun dan mengikut bentuk badan menyerlahkan lagi penampilan Yasmin di pentas.
Setiap langkah yang diatur memperlihatkan kehalusan seni pertukangan serta keunikan budaya yang menjadi identiti masyarakat Orang Ulu.
Keupayaannya menghayati dan menyampaikan makna di sebalik rekaan tersebut turut memberikan nilai tambah dalam penilaian pertandingan.
Kemenangan Yasmin turut mengangkat martabat budaya Orang Ulu ke peringkat yang lebih luas.
Persembahannya yang penuh karisma membuktikan bahawa warisan budaya bukan sekadar untuk dikenang, malah perlu dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Pertandingan Miss Heritage Sarawak yang julung kali diadakan itu mengetengahkan konsep kebudayaan yang menggabungkan unsur tradisional dengan sentuhan moden.
Acara tersebut berjaya menarik perhatian pencinta seni budaya dan fesyen tanah air, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha mempromosikan warisan etnik Sarawak kepada masyarakat.
Menurut Pengurus AI Dot Com Management, Awg Amirul Hafizan, pertandingan berkenaan merupakan cetusan idea pihak penganjur yang bertujuan memartabatkan khazanah budaya Sarawak melalui platform peragaan generasi muda.
Lebih membanggakan, acara berskala besar itu dianjurkan sepenuhnya menggunakan dana sendiri tanpa sebarang bantuan kewangan daripada pihak luar.
Beliau menjelaskan bahawa antara kelainan utama diketengahkan dalam pertandingan ini ialah penerapan konsep kontemporari tanpa menggabungkan elemen daripada pelbagai etnik dalam satu persalinan.
“Kami mahu mengangkat keaslian identiti setiap kaum. Tiada konsep suai padan antara etnik yang berbeza diterapkan dalam pertandingan ini.
“Sebaliknya, setiap busana memberi fokus sepenuhnya kepada satu etnik yang diterjemahkan dalam bentuk rekaan moden dan elegan,” katanya ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak selepas pertandingan tersebut.
Tambah Amirul, pertandingan tersebut disertai 20 peserta yang dibahagikan kepada tiga kategori umur, iaitu Kategori A (4 hingga 7 tahun), Kategori B (8 hingga 11 tahun) dan Kategori C (12 hingga 17 tahun).
“Proses pemarkahan dijalankan secara menyeluruh dan ketat dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keindahan busana, mutu peragaan, tahap kreativiti, kekuatan sinopsis yang menepati tema, undian awam, tata rias wajah dan rambut serta aura keseluruhan peserta di pentas.
“Cabaran terbesar dalam penganjuran acara tersebut ialah pemilihan panel juri yang berpengalaman dan berwibawa.
“Juri yang dilantik terdiri daripada individu yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pakaian tradisional dan industri bakat bagi memastikan proses penilaian berlangsung secara adil, telus serta bebas daripada sebarang unsur prejudis,” ujarnya.
Pada masa hadapan, pihak penganjur berharap pertandingan ini akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan dan badan korporat, bagi membolehkannya berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.
Mereka turut menyasarkan agar Miss Heritage Sarawak menjadi acara berprestij yang setanding dengan pertandingan kebudayaan terkenal di Borneo seperti Unduk Ngadau dan Mr Kaamatan.
Berikut ialah senarai pemenang rasmi peringkat akhir Miss Heritage Sarawak. Bagi Kategori A, Aaira Inara muncul juara, diikuti Nurain Mikayla sebagai naib juara dan Airel Mikhael di tempat ketiga.
Dalam Kategori B pula, Cinta Izzara muncul juara, manakala Nia Ramadhani dan Zara Amanda masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Bagi Kategori C, Yasmin Soffiya dinobatkan sebagai juara, diikuti Sarafina Arisya sebagai naib juara dan Nur Adzwiesya di tempat ketiga.
Penganjuran sulung Miss Heritage Sarawak ini membuktikan gabungan warisan budaya, kreativiti dan inovasi mampu menghasilkan karya yang bukan sahaja membanggakan masyarakat setempat, malah berpotensi mengangkat nama Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.



