Masa untuk keluar rumah

BAU: Jika bukan rakyat Malaysia, siapa lagi boleh membantu memulih dan memberi keyakinan untuk membangunkan semula industri pelancongan di negara ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Syukri berkata, justeru rakyat Malasia perlu memulakan langkah keluar rumah dan melancong di dalam negara bagi membantu memulihkan semula ekonomi negara yang terkesan dengan Covid-19.

“Lihat sahaja di bandar Kuching, ia sudah mencatat pertambahan 75 peratus jumlah tempahan hotel untuk tempoh dua minggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula sehingga kini,” katanya sambil menambah, beliau percaya keyakinan rakyat Malaysia juga meningkat terutamanya untuk pelancongan domestik.

“Apatah lagi penerbangan domestik dibenarkan dengan SOP diperkenalkan. Maklum balas mengenai kehadiran di hotel di Kuching khasnya dalam talian menunjukkan indikator positif daripada masyarakat,” katanya.

Nancy berkata demikian pada sidang media ketika melawat Libiki Bamboo Resort Bijuang Tuolok Mongang Kampung Mongang Bau di sini kelmarin.

Katanya, ia juga dibantu dengan pakej stimulus yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini sekali gus mendorong rakyat merancakkan lagi ekonomi negara.

“Malah dengan adanya pergerakan kewangan di dalam negara ditambah pelbagai bantuan diberikan kerajaan, saya yakin keadaan akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Nancy menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong penerbangan domestik.

“Ini juga memberi peluang kepada kita untuk melawat dan menikmati apa yang ada di negeri lain termasuk mempelajari sesuatu yang baharu atau melihat keindahan.

“Sebagai sebuah negara yang mempunyai SOP yang terkawal, kita bangga kerana Malaysia ialah negara yang selamat.

“Ia secara tidak langsung ia dapat memupuk keyakinan pelancong tempatan dengan pematuhan SOP serta mengikut peraturan yang ditetapkan oleh KKM,” jelasnya.

Suara Sarawak