SEMALAM saya membantu bapa memanggang sayap ayam menggunakan arang kayu di belakang rumah di Marudi.
Di ruang dapur pula, kakak ipar dan adik sibuk memasak nasi dan pelbagai jenis lauk.
Dari ruang dapur hingga ke belakang rumah, suasana riuh-rendah dengan aktiviti memasak sambil mengusik satu sama lain.
Pada malam itu, keluarga saya membuat sedikit jamuan makan memandangkan kami adik-beradik jarang berkumpul sama.
Ya, saya mengambil cuti pendek dan pulang bertemu dengan keluarga di sini.
Semasa aktiviti memasak itu, saya sempat bertanya dengan ibu, bagaimana dia dan adik-beradiknya menyediakan hidangan sedemikian di kampung dahulu jika ada majlis keramaian atau makan besar keluarga.
Sambil ketawa, ibu memberitahu, dahulu amin laruk (rumah panjang) ibu tidak mempunyai dapur gas seperti yang ada di rumah panjang hari ini.
Semua aktiviti memasak seperti menjerang air, memasak nasi, mengoreng, memanggang dan sebagainya dilakukan sepenuhnya di atang kayu (tempat memanggang yang dibina daripada kayu).
Ibu menambah, dia serta adik-beradiknya sudah melihat atang kayu itu sejak kecil.
Mendiang nenek mengajarnya bagaimana memasak menggunakan atang kayu itu.
“Murip ke la’ie met eot ni, ake selalu na’at matai Pui mesak ke atang kayu.
Yea pe un ajen aki kum’tuk mesak guna atang ti… met ti aki belanje,” (Hidup di kampung sejak kecil, saya selalu melihat mendiang Pui (ibunya) memasak di atang kayu.
Dia juga mengajar saya bagaimana menggunakan atang kayu ini… dari situ, saya belajar).
Dedah ibu lagi, mendiang nenek juga mengajarnya bagaimana mengenal pasti kayu yang sesuai untuk dijadikan bahan api.
Ini kerana tidak semua kayu hutan sesuai untuk bahan api.
“Kayu matung ke na’a, iti yek amek alak tape kayu yek eot ngen ringan.
Un balai kayu ni, sabet ma’ang jade apui avek ya’in.
Kayu tepalut, taket yap… iti antara kayu sukat pakai,” (Kayu hanyut di tepi sungai, itu yang kami ambil tetapi kayu saiz kecil dan ringan.
Ada sesetengah kayu ini, cepat terbakar jadi api akan cepat padam.
Kayu tepalut, kayu kaki ayam… ini antara kayu kami guna).
Berdasarkan perkongsian ibu, saya terbayang atang kayu di lepau kami di Paong, Ulu Baram.
Atang kayu itu dibina oleh bapa menggunakan kayu, tanah, besi dan berdindingkan beberapa zink.
Jika saya pulang ke kampung, saya dan bapa pasti akan memanggang di atang kayu itu.
Kami menggunakan kayu hutan, bukan arang seperti yang digunakan di bandar.
Meskipun lepau kami dilengkapi dapur gas, kadangkala ibu juga akan memasak nasi di atas atang kayu itu.
Oleh demikian, setiap kali pulang ke kampung, tugas memasak nasi biasanya saya serahkan kepada ibu.
Saya pula akan memasak lauk.
Saya tidak pandai memasak nasi menggunakan dapur gas apatah lagi di atang kayu.
Saya hanya tahu memasak nasi menggunakan periuk elektrik.
Ibu kerap mengajar saya memasak nasi menggunakan dapur gas atau dapur kayu, namun nasi biasanya tidak pernah menjadi.
Selalunya dua kemungkinan berlaku, nasi itu menjadi bubur atau hangit.
Jika salah satu daripada ‘kejadian’ itu berlaku, lepau akan menjadi bising dengan usikan daripada abang-abang saya.
Manakala ibu atau bapa akan memarahi saya kerana hingga ke hari ini, ilmu yang diturunkan tidak pernah melekat!
Justeru, kembali semula kepada perbualan saya dan ibu sebelum ini, saya kagum mendengar cerita kehidupan pada zaman bujangnya itu.
Sejak kecil, ibu telah terdedah dengan cabaran kehidupan dan diajar untuk sentiasa mensyukuri nikmat hidup.
Kini, tiada lagi penggunaan kayu api untuk memasak kerana masyarakat kita sudah beralih kepada dapur gas atau dapur elektrik dan saya tidak terkecuali dalam hal ini.
Penggunaan kayu api ini hanya diamalkan di kampung sahaja.
Dalam pada itu, setiap kali mendengar bunyi hon lori membawa silinder gas melalui kawasan perumahan di sini pada waktu pagi, ia menjentik rasa di hati.
Hidup di bandar tidak sama seperti di kampung.
Hari ini, kehidupan masyarakat kita terutamanya di bandar semakin maju.
Suatu hari nanti kita mungkin tidak perlu perkhidmatan sedemikian ataupun membeli silinder gas di kedai kerana saluran paip gas akan terus disambung ke dapur.
Ya, pada Februari lalu, Kerajaan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berjaya melaksanakan projek bekalan gas asli menerusi saluran paip terus ke kediaman di Miri, memberi manfaat kepada 15 keluarga terawal di Quadruplex Taman Ceria (QTC),
Permyjaya. Seterusnya pada Mac, jumlah keluarga yang mendapat bekalan gas asli ini meningkat kepada 53 keluarga.
Mereka sebahagian daripada fasa kedua projek pemasangan saluran paip gas yang dijangka meliputi 125 rumah secara keseluruhan.
Rumah mereka dilengkapi saluran paip gas yang disambungkan terus ke dapur masing-masing.
Bagaimanapun, penduduk perlu memastikan mereka mempunyai dapur yang serasi dengan tekanan gas asli bawah tanah.
Bulan lalu, giliran penduduk di Sungai Plan Bintulu pula.
Ya, Projek Gas Paip Pertama ke penempatan penduduk Rancangan Sungai Plan adalah bekalan gas paip kediaman pertama PETROS yang diusahakan di Bintulu dan menandakan satu langkah ketara ke arah membawa sumber gas Sarawak secara langsung kepada rakyat.
PETROS menyasarkan untuk melanjutkan liputan gas kepada lebih 3,500 isi rumah di kawasan Sungai Plan menjelang akhir 2027.
Infrastruktur ini menghantar gas asli terus ke rumah untuk memasak dan kegunaan domestik yang lain, menawarkan penduduk alternatif yang lebih bersih, mudah dan kos efektif kepada cecair gas petroleum (LPG).
Memetik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Datuk Janin Girie, projek ini menyediakan akses terus kepada gas asli lebih bersih dan berpatutan dalam penyelesaian tenaga kepada masyarakat setempat.
Penutup kata, kemudahan saluran paip gas asli ke dapur rumah merupakan satu teknologi yang tidak boleh dinafikan keperluannya pada masa hadapan.
Contoh yang paling ketara hari ini adalah, tiada lagi penggunaan kayu api untuk memasak kerana sekarang kita menggunakan silinder gas dan elektrik.
Oleh itu, tidak hairan jika suatu hari nanti, robot pula yang akan memasak untuk manusia.



