KUCHING: Kuching City FC memburu kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Super 2026-2027 apabila bertandang ke Brunei menentang DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, jam 8.15 malam esok.
The Cats yang kini menghuni tangga kedua liga dengan 12 mata hasil empat kemenangan daripada lima perlawanan, mahu meneruskan momentum positif bagi mengukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas.

Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak berkata, Liga Super kekal sebagai keutamaan pasukannya meskipun perlu mengharungi jadual padat membabitkan lima kejohanan sepanjang musim ini.
“Kita tidak boleh memberikan fokus sepenuhnya kepada setiap pertandingan kerana musim ini kita berada dalam lima kejohanan.
“Sudah tentu liga perlu menjadi antara keutamaan supaya kita dapat mengekalkan kedudukan dan berpeluang kembali bermain di Asia musim depan,” katanya.
Kuching City turun beraksi dengan bekalan keputusan seri 1-1 menentang wakil Hong Kong, Kitchee SC, yang menyaksikan The Cats meraih mata pertama dalam kempen sulung ACL2.
Bagaimanapun, Aidil mengakui tempoh pemulihan singkat menjadi cabaran utama apabila pasukannya perlu kembali beraksi hanya tiga hari selepas perlawanan berintensiti tinggi itu.
“Pemain ialah manusia, bukannya mesin yang boleh diisi minyak dan terus bergerak pada kelajuan 100 kilometer sejam.
“Kita tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih. Jadi, kita perlu percaya kepada pemain dan kualiti yang mereka miliki,” katanya.

Sementara itu, DPMM berada di tangga kelima dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan dan dua kekalahan daripada empat perlawanan.
Rekod pertemuan turut memihak kepada Kuching City yang belum pernah tewas kepada wakil Brunei itu dalam lima pertemuan terakhir, dengan empat kemenangan dan satu keputusan seri.
Pertemuan terbaharu kedua-dua pasukan pada 25 April lalu berakhir 2-2 di Brunei, manakala The Cats sebelum itu menewaskan DPMM 3-1 dalam kedua-dua perlawanan Piala Malaysia pada Februari.
Kuching City turut mencatat kemenangan 1-0 dalam Liga Super pada November 2025 serta kemenangan besar 7-1 dalam Piala FA pada September tahun sama.
Dengan rekod itu, The Cats berpeluang meneruskan penguasaan ke atas DPMM, namun perlu mengatasi cabaran keletihan serta kelebihan beraksi di laman sendiri yang dimiliki lawan.




