SARIKEI: Cuaca cerah menyemarakkan Sambutan Hari Sukan Negara 2026 Peringkat Bahagian Sarikei apabila lebih 3,000 penduduk turun padang menyertai pelbagai aktiviti kecergasan di sini, hari ini.
Program yang berlangsung seawal 5.30 pagi itu dimulakan dengan acara larian sejauh 10 kilometer, diikuti larian santai 3 kilometer yang menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Sri Huang Tiong Sii berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan sukan berupaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai kaum dan peringkat usia dalam suasana harmoni.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan wakilnya, Pemanca Chan Pan Chan, pada majlis sambutan berkenaan.
“Hari Sukan Negara menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan aktiviti fizikal dalam mengekalkan tahap kesihatan serta kecergasan diri.
“Program seumpama itu berpotensi melahirkan bakat baharu dalam bidang sukan, selain membantu menjaga keseimbangan kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti sukan secara bersama juga memberi peluang kepada penduduk untuk berkenalan, merapatkan hubungan kejiranan dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti setempat.
Tiong Sii berharap sambutan tahunan itu terus mendorong masyarakat menjadikan senaman dan kegiatan sukan sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan demi membentuk komuniti yang lebih aktif, sihat dan sejahtera.



