Masalah air di Tanjung Manis tidak menyeluruh

SARIKEI: Menteri Kerja Raya, Baru Bian kurang faham masalah sebenar dan tidak mendapat maklumat tepat tentang masalah air di Tanjung Manis khususnya di Kampung Belawai.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab menjelaskan, masalah air di Belawai bukan menyeluruh kerana hanya dialami oleh beberapa penempatan yang terletak di hujung sistem paip yang mengalami tekanan air rendah terutama musim kemarau seperti sekarang.

Malah katanya, masalah gangguan bekalan air di kawasan berkenaan bukan berlaku sepanjang masa.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), paip baru akan dibina dari loji Sarikei ke Tanjung Manis di samping menaiktaraf tiga pam air dari Stesen Pengepam Air Baji bagi menampung masalah kekurangan air di Tanjung Manis,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Rakyat Sarikei, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Baru Bian berhubung masalah air di kawasan Tanjung Manis ketika menghadiri Majlis Gawai Raya di Belawai, semalam.

Yusuf Abdul Wahab (dua kanan) memotong riben sebagai simbolik perasmian Pesta Rakyat anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.41 Kuala Rajang, SABERKAS N41 Kuala Rajang dan N45 Repok di Dewan Serbaguna Kampung Baru Seberang Sarikei.

Yusuf menggesa mereka yang tidak tahu perkara sebenar supaya jangan mengeluarkan sebarang tohmahan tidak tepat kerana ia hanya mengelirukan rakyat.

“Menteri kita ini kurang memahami situasi sebenar dan mudah dipengaruhi oleh hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda politik tertentu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Yusuf mahu golongan muda merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dengan menceburi bidang kemahiran dan perniagaan supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Menurutnya, belia yang bijak mengambil peluang dan kreatif membuat keputusan mampu memajukan ekonomi diri, keluarga serta masyarakat.

“Jalan baharu ke Tanjung Manis yang akan dibina oleh Kerajaan Sarawak bukan sahaja bakal dinikmati oleh penduduk Sarikei tetapi juga seluruh rakyat khususnya, mereka yang tinggal di kawasan pesisir,” katanya.

Program yang serikan dengan pelbagai acara menarik termasuk sukan itu dihadiri lebih 2,000 penduduk setempat.

Ahli Parlimen Tanjung Manis (lima kiri) menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah.

Suara Sarawak