Masalah air fokus utama kerajaan

BINTANGOR: Kerajaan Sarawak membuktikan keperihatinan dengan meluluskan peruntukan besar untuk melaksanakan projek bagi mengatasi masalah rakyat di kawasan ini.

Adun Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, masalah gangguan bekalan air yang sering dialami penduduk menjadikan fokus utama kerajaan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan meluluskan sebanyak RM81 juta di Daerah Meradong untuk menaik taraf saluran paip air melalui pemasangan pam Tangki Air Bulat yang memakan masa selama dua tahun.

“Begitu juga pembinaan Jalan Pasi ke Tanjung Manis, salah satu projek terbesar yang bakal melonjakkan ekonomi rakyat khususnya golongan petani dan nelayan.

“Tebingan Sungai Bintangor akan dinaiktaraf selepas mendapat kelulusan daripada Ketua Menteri agar bagi meningkatkan perniagaan peniaga daerah ini.

“Malah, jika tidak ada aral melintang kita juga bakal memiliki kolam renang di Taman Bintang,” katanya pada majlis Jamuan Makan Malam sempena Tahun Baharu Cina di sini, semalam.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan mewujudkan taman agro di Tanjung Bundong merupakan usaha jangka panjang yang bakal memberi manfaat kepada rakyat.

Usaha itu katanya, selaras dengan matlamat untuk menjadikan bahagian Sarikei sebagai pengeluar makanan Sarawak.

“Kita juga tetap meneruskan pelaksanaan pelbagai projek untuk sekolah, persatuan Ngo, rumah panjang, gereja, perumahan luar bandar dan banyak lagi.

“Pelaksanaan Gold Card juga membuktikan keperihatinan Kerajaan Sarawak selain menyediakan insentif ibu bersalin RM450, RM1,000 untuk bayi yang baharu dilahirkan dan banyak lagi,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sikap toleransi kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu dipertahankan demi kemajuan serta kesejahteraan negeri ini.

Katanya, Sarawak memiliki keunikan dan keindahan budaya hidup masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama.

“Budaya positif ini perlu diteruskan kerana mampu membentuk sebuah masyarakat yang bertolak ansur dan memahami budaya masing-masing.

“Umum maklum, perpaduan adalah resipi terpenting untuk kita mencapai kejayaan.

Hanya dengan perpaduan, kita mampu mengecapi keamanan dan kemajuan.

“Justeru, hubungan erat antara kaum di Sarawak adalah sesuatu yang unik dan mesti dikekalkan sampai bila-bila,” tambahnya.

Suara Sarawak