PADAWAN: Masalah liputan komunikasi di kawasan Puncak Borneo perlu diberi perhatian bagi memastikan penduduk tidak terputus daripada menerima maklumat penting.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masih terdapat kawasan yang berdepan dengan masalah liputan komunikasi, termasuk ketika berlaku situasi kecemasan.

Menurut beliau, keperluan terhadap liputan komunikasi yang lebih baik adalah penting bagi memastikan maklumat dapat disampaikan dengan pantas kepada penduduk.
“Perkara seperti ini perlu kita lihat kerana masih ada kawasan yang tidak mempunyai liputan komunikasi yang baik.
“Ini menjadi lebih penting apabila berlaku kecemasan dan penduduk memerlukan maklumat dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Pentadbiran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) N19 Mambong, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berkata, masalah vandalisme terhadap menara telekomunikasi turut menjadi antara punca gangguan perkhidmatan di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau telah melaporkan isu tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta membangkitkannya menerusi media sosial.
“Baru-baru ini, terdapat banyak vandalisme terhadap menara di Puncak Borneo.
“Saya sudah melaporkannya kepada MCMC dan pada masa ini, perkhidmatan sudah kembali beroperasi,” katanya.
Bagaimanapun, Willie berharap agar penyelesaian konkrit dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian vandalisme daripada terus berlaku.
Menurutnya, walaupun liputan komunikasi di Puncak Borneo kini semakin meluas, kadar vandalisme masih tinggi dan kualiti perkhidmatan pada masa tertentu turut menjadi isu.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh MCMC serta kementerian berkaitan, selain akan dibangkitkan semula di Parlimen.



