KUCHING: Masalah tekanan air rendah dialami penduduk sekitar Kampung Bunga Rampai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang akan diselesaikan dengan pembinaan kawasan takungan air.

Adun Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang berkata, masalah itu telah berlarutan sejak dua tahun yang lalu dan penduduk sekitar berdepan kekurangan tekanan air ketika waktu puncak.
Justeru katanya, Lembaga Air Kuching (LAK) telah merangka program jangka panjang dan singkat seperti pembinaan kawasan takungan air.
“LAK telah memperoleh tanah berdekatan Kampung Bunga Rampai yang terletak di kawasan tinggi untuk membina kawasan takungan air yang akan ditender untuk pembinaan pada tahun hadapan.
“Bagi program masa singkat, LAK akan meningkatkan tekanan air di saluran paip agar penduduk setempat mendapat bekalan air,” katanya kepada media selepas menganjurkan dialog bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Batu Kitang di Pusat Khidmat Batu Kitang, di sini hari ini.
Dialog tersebut turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar LAK Ismail Ali, Ahli Lembaga LAK Amy Tnay Li Ping dan Penghulu Kampung Haji Baki Sabtuyah Yusof.
Khere Chiang berkata, penduduk sekitar Kota Padawan dan kawasan perkampungan serta perumahan di sekitar Landeh turut berdepan masalah yang sama.
Sehubungan itu katanya, LAK kini dalam proses untuk menukar paip lama yang akan bermula pada tahun hadapan setelah melantik kontraktor untuk tujuan tersebut.
Di samping, stesen penggalak yang terletak di Kota Padawan, Batu 10 kini sedang dinaik taraf untuk meningkatkan kapasiti air.
Sementara Ismail berkata, kawasan takungan air berdekatan Kampung Bunga Rampai akan dibina pada ketinggian 68 meter dari paras laut dengan menggunakan graviti untuk pengagihan bekalan air.
Katanya, ia dibina dengan kos RM53 juta menerusi Projek Rakyat Kerajaan Sarawak dan dapat menampung kegunaan dari kawasan Bau dan Sematan.
Tambahnya, projek tersebut mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan untuk sementara waktu, pihaknya akan meningkatkan tekanan air di kawasan Kampung Bunga Rampai untuk kegunaan penduduk di kawasan itu.
Manakala, bagi stesen penggalak di Kota Padawan Batu 10, kerja menaik taraf kini berada pada tahap 40 peratus siap dan dijangka siap pada 19 Disember tahun hadpaan.
“Projek naik taraf dengan kos RM10 juta itu akan dinaikkan kapasiti dari tiga juta liter air kepada lapan juta liter air ke Landeh dan lapan juta liter lagi akan ke kawasan Puncak Borneo,” ujarnya.

