SEBUYAU: Masalah teknikal yang melibatkan keempat-empat unit di Empangan Bakun dikenal pasti sebagai antara punca gangguan bekalan elektrik di beberapa bandar utama di Sarawak, termasuk Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi bagaimanapun berkata, pihak Sarawak Energy masih menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar.
“Menurut makluman daripada Ketua Pegawai Operasi Sarawak Energy, James Ung kepada saya tadi, pihaknya sedang berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat.
“Dalam masa yang sama, syarikat pembekal tenaga itu masih menjalankan siasatan tentang apa-apa yang berlaku di Unit 1, 2, 3 dan 4 Empangan Bakun,” katanya.
Adun Sebuyau itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.
Tambahnya, punca sebenar gangguan bekalan elektrik tersebut dijangka diumumkan oleh Sarawak Energy menerusi kenyataan media rasmi pada lewat petang ini.
“Namun, siasatan punca sebenar gangguan ini masih dijalankan. Oleh itu, kita akan menunggu kenyataan rasmi daripada SEB,” ujarnya
Gangguan bekalan elektrik pada tengah hari tadi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di seluruh Sarawak dengan banyak perkongsian daripada pengguna di media sosial melihatkan kawasan yang terjejas.
SEB sebelum ini menerusi aplikasi SEB Cares mengesahkan bahawa semua kawasan yang terjejas telah pulih pada sekitar 3 petang tadi.
Namun, pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan elektrik dinasihatkan untuk melaporkan masalah tersebut melalui talian di 1-300-88-3111 atau menerusi aplikasi SEB Cares.



