LUNDU: Masjid Al-Sultan Abdullah di Telok Melano diharap menjadi pemangkin pembangunan kawasan berkenaan, selaras dengan perancangan pembangunan yang dicadangkan di sekitarnya.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah, masjid yang baharu dirasmikan bukan sekadar tempat ibadah, malah berpotensi memainkan peranan penting merancakkan pembangunan Telok Melano.
Baginda berkata, cadangan pembangunan di sekitar kawasan itu perlu diusahakan sebaik mungkin bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Saya berdoa rumah Allah ini akan menjadi satu pemangkin (catalyst) kepada pembangunan di sini.
“Mudah-mudahan rancangan ini dapat diusahakan,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah di Telok Melano, di sini, hari ini.
Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, wakil rakyat, jawatankuasa masjid dan penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan pembinaan rumah Allah berkenaan.
Dalam pada itu, baginda berharap masjid tersebut terus menjadi pusat tumpuan masyarakat, bukan sahaja untuk ibadah, malah menerusi pelbagai aktiviti yang dapat mengimarahkan dan memakmurkannya.
Baginda berkata, ukuran kejayaan sesebuah masjid bukan berdasarkan saiz atau kemegahan bangunan, sebaliknya pengisian serta jumlah jemaah yang mengimarahkan rumah Allah berkenaan.
“Saya bersyukur kerana ia tidak terlalu besar kerana kalau besar, mungkin kosong.
“Tetapi saya lihat masjid ini cukup sederhana, cukup cantik, padat, tetapi lebih penting pengisiannya mesti penuh.
“Pengisian, pengimarahan, kemakmuran, kerahmatan dan keberkatannya perlu ada,” titah baginda.
Sultan Abdullah turut berharap Masjid Al-Sultan Abdullah sentiasa dipenuhi jemaah, termasuk pengunjung yang singgah di Telok Melano.

