ARTIKEL

Fadilah menyempurnakan acara memotong riben sebagai simbolik perasmian bangunan baharu Surau Nurul Muslimin (FOTO RAMIDI SUBARI)

Masjid dan surau digalak manfaat teknologi AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Institusi masjid dan surau perlu meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi penganjuran program pendidikan dan latihan bagi meningkatkan literasi digital masyarakat serta memperkukuh penyampaian maklumat kepada ahli kariah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, teknologi AI kini semakin dekat dengan kehidupan masyarakat dan boleh dimanfaatkan untuk menghidupkan aktiviti masjid serta surau, khususnya dalam usaha menarik penyertaan golongan muda.

“Kalau dapat di masjid, adakan program untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang AI, bagaimana teknologi ini dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam kariah masing-masing.

“Kini hampir setiap orang mempunyai telefon pintar. Jadi apabila ada program atau majlis di masjid dan surau, maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat dan berkesan melalui teknologi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Surau Nurul Muslimin, Kampung Sungai Bedil Besar di sini, hari ini.

Fadillah berkata penggunaan AI juga boleh membantu menghasilkan bahan promosi yang lebih menarik untuk menggalakkan masyarakat menghadiri program yang dianjurkan oleh masjid dan surau.

“Penggunaan AI berupaya membantu institusi masjid dan surau menyampaikan maklumat berkaitan program serta aktiviti secara lebih meluas dan menarik kepada masyarakat.

“Selain itu, ia juga mampu menjadi medium yang berkesan untuk mendekati generasi muda sekali gus mempelbagaikan aktiviti yang dapat mengimarahkan institusi berkenaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perkembangan AI turut membawa cabaran baharu, termasuk penyebaran kandungan palsu menerusi teknologi deepfake yang semakin sukar dibezakan daripada kandungan tulen.

Beliau berkata kegagalan memahami perkembangan teknologi digital boleh menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dan perpecahan.

Sehubungan itu, Fadillah menegaskan bahawa masjid dan surau bukan sahaja berperanan sebagai tempat ibadah, malah perlu menjadi pusat pembangunan ilmu, kemahiran serta pengukuhan masyarakat yang mampu membimbing komuniti menghadapi cabaran semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata pembinaan bangunan baharu Surau Nurul Muslimin yang menelan kos kira-kira RM2.6 juta merupakan hasil usaha berterusan pelbagai pihak sejak hasrat pembinaannya dicetuskan lebih dua dekad lalu.

Bangunan baharu surau tersebut telah siap sepenuhnya pada Disember 2024 dan melalui tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) selama setahun sebelum diserahkan untuk kegunaan penuh komuniti setempat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU