Masjid Darul Naim di Kampung Lintang: Lebih dinamik, berteknologi tinggi

KUCHING: Masjid Darul Naim di Kampung Lintang bakal menerima jemaahnya pada November tahun ini setelah kerja-kerja pembinaannya mencapai tahap 80 peratus.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, masjid yang dibina dengan kos RM8 juta itu mampu menampung 1,500 jemaah dalam satu masa.

“Masjid ini mempunyai semua kemudahan termasuk melatih orang kampung untuk menguasai teknologi maklumat (IT) dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

“Ia umpama seperti sebuah makmal untuk masyarakat mempelajari dunia IT dalam membincangkan sesuatu isu dalam talian,” katanya pada sidang media selepas meninjau pembinaan Masjid Darul Naim di Kampung Lintang di sini semalam. Abang Johari yang juga

Adun Satok memberitahu, reka bentuk masjid berkenaan agak berbeza apabila di atasnya adalah tempat riadah apabila kebiasaannya tempat riadah di bawah bangunan.

“Selepas sembahyang, jemaah boleh beriadah untuk menjaga kesihatan selain mempunyai tempat bermesyuarat dan dewan perkahwinan.

Kini ramai pasangan mengadakan majlis perkahwinan di masjid dan ia satu kemudahan bagi mereka,” tegasnya.

Abang Johari juga memuji kerjasama yang erat antara wakil rakyat dengan orang kampung apabila bersatu melaksanakan pembangunan secara berperingkat-peringkat.

“Ini ialah masjid kedua yang menuntut penglibatan saya ketika saya baharu menjadi wakil rakyat di Satok.

“Oleh kerana dimamah usia, masjid ini telah usang dan digantikan dengan masjid yang baharu,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Adun Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Suara Sarawak