ARTIKEL

Pitchay Gani ketika sesi Bual Bicara MASTERA bertajuk ‘Merentas Sempadan Sastera MASTERA: Idealisme dan Realiti’ sempena Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini. FOTO RAMIDI SUBARI

MASTERA: Bahasa Melayu aset penting ekonomi serantau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Penglibatan dalam kegiatan bahasa dan sastera, khususnya dalam kalangan generasi muda, perlu diperkasa untuk memastikan bahasa Melayu terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kebudayaan di rantau Nusantara.

Perkara itu ditekankan oleh panel dari Singapura, Dr. Pitchay Gani Aziz, ketika sesi Bual Bicara Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang berlangsung di Dewan Syarahan, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini.

Beliau berkata, pelibatan dalam kegiatan berkenaan penting bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang seiring dengan perubahan landskap serantau, termasuk dalam bidang ekonomi.

“Justeru, saya menggalakkan agar semua orang, jika boleh, terlibat dengan kegiatan bahasa dan sastera ini; mungkin pada mulanya ia bukan disebabkan minat, tetapi tidak salah sekiranya kita mencuba.

Hakikatnya sedemikian kerana jika kita tidak mencuba, kita tidak tahu kebolehan atau hasilnya,” katanya pada sesi Bual Bicara MASTERA bertajuk ‘Merentas Sempadan Sastera MASTERA: Idealisme dan Realiti’ sempena Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026, hari ini.

Menurutnya, perubahan landskap ekonomi serantau turut meningkatkan nilai ekonomi bahasa Melayu, khususnya apabila semakin banyak syarikat antarabangsa melihat rantau Asia sebagai pasaran yang berpotensi.

Tambahnya, di Singapura misalnya, terdapat syarikat teknologi antarabangsa yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran bahasa Melayu bagi membantu mengembangkan operasi mereka ke pasaran serantau.

“Dahulu di Singapura kita bertanya, adakah nilai ekonomi bahasa Melayu? Itu persoalan dahulu, tetapi sekarang sudah berubah kerana bahasa Melayu semakin penting apabila sudah ada syarikat luar negara yang nampak potensinya,” ujar beliau.

Mengulas kepelbagaian bahasa dan etnik pribumi di rantau ini, Pitchay memaklumkan bahawa khazanah berkenaan perlu dilihat sebagai modal budaya (cultural capital) yang mempunyai nilai tersendiri dan wajar dipelihara.

Menurutnya, pemeliharaan bahasa dan budaya bukan sahaja penting dalam mempertahankan identiti masyarakat, malah berpotensi menjadi aset dalam perkembangan ekonomi dan hubungan serantau.

“Perkembangan pesat ekonomi beberapa negara Asia menunjukkan potensi rantau Nusantara untuk terus berkembang, sekali gus menjadikan jaringan serantau sebagai elemen penting dalam menghadapi perubahan ekonomi global,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa penutur jati bahasa Melayu supaya mendalami bahasa berkenaan dan mengambil peluang untuk meningkatkan penguasaan serta kemahiran yang boleh dimanfaatkan pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau menggalakkan generasi muda memanfaatkan platform seperti MASTERA serta seminar berkaitan bagi membina jaringan serantau dan meneroka peluang yang tersedia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU