ARTIKEL

Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari bilik Mahkamah Majistret 1 bersama-sama tertuduh lain oleh anggota polis.

Masuk Malaysia Tanpa Permit, Ugut Bunuh Bekas Isteri, Lelaki Dipenjara 10 Bulan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan mengugut hendak membunuh isterinya warga tempatan dan masuk ke Malaysia tanpa permit.

Tertuduh, 39, dari Singkawang, Indonesia dan bekerja sebagai buruh kasar itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama, kerana masuk ke Sarawak, Malaysia tanpa permit.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Segedup, Batu Kawa, sekitar 8.10 malam, 2 November lalu.

Hakim Mursyida Abdul Halim menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan dua sebatan terhadap tertuduh.

Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana mengugut hendak membunuh bekas isterinya yang berusia 50 tahun.

Kata-kata ugutan hendak membunuh itu dilakukannya di kediaman tertuduh di Kampung Segedup, sekitar 10.30 pagi, pada 16 September lalu.

Majistret Nuriena Syafika Mohd Najib menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini, selain memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan secara berturut-turut.

Menurut fakta kes, pada 16 September lalu, pengadu pergi ke rumah bekas suaminya untuk mengambil barang-barang miliknya seperti mesin basuh, peti sejuk, peti sejuk beku dan televisyen.

Namun, berlaku pertengkaran di antara mereka hingga membuatkan tertuduh mengeluarkan kata-kata hendak membunuh pengadu sekiranya mengambil barang terbabit.

Laporan polis dibuat oleh pengadu selepas dia berasa terancam dan bimbang akan keselamatan diri.

Pada 2 November lalu, pengadu dan sepasukan polis pergi ke rumah tertuduh untuk mengambil barang-barangnya.

Semasa mengambil barang-barang terbabit, tertuduh gagal mengemukakan pengenalan diri bagi tujuan pengesahan identiti.

Hasil siasatan mendapati tertuduh merupakan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang masuk ke negara ini melalui kawasan Lubok Antu selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan tiada sebarang rekod keluar masuk Malaysia.

Dia juga mengeluarkan kata-kata hendak membunuh bekas isterinya yang merupakan warga tempatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Afiq Safly Nor Kazly dan DPP Muhammad Aidil Akmal Sharidan. Manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

Lokasi strategik Sarawak tarik banyak pelaburan

KUCHING: Kelebihan dari segi lokasi strategik, kos tenaga yang kompetitif serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadikan Sarawak destinasi berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan,

BERITA TERBARU

Lokasi strategik Sarawak tarik banyak pelaburan

KUCHING: Kelebihan dari segi lokasi strategik, kos tenaga yang kompetitif serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadikan Sarawak destinasi berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan,