KUCHING: Sektor swasta perlu memainkan peranan lebih besar sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar menerusi pendekatan pembiayaan hibrid yang menggabungkan sumber kewangan kerajaan dan pelaburan swasta.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan berperanan menyediakan kemudahan bagi memudah cara pelaksanaan projek, selain memastikan dasar yang digubal tepat dan selari dengan landskap ekonomi global.

Beliau berkata, sektor swasta mempunyai kepakaran serta pemahaman mendalam dalam bidang masing-masing, sekali gus menjadikannya antara pemacu penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
“Di sinilah aspek pembiayaan memainkan peranan penting, iaitu melalui pendekatan pembiayaan hibrid. Kerajaan mempunyai sumber hasil sendiri dan pada masa sama boleh menerbitkan bon serta sukuk. Sektor swasta pula boleh melaksanakan pembangunan yang dirancang menerusi pembiayaan swasta.
“Dengan kata lain, sumber pembiayaan perlu diuruskan bagi memenuhi keperluan kerajaan. Sudah tentu kerajaan mempunyai hasil sendiri, namun pembiayaan daripada sektor swasta juga amat penting,” katanya pada sesi dialog Forum Peralihan Industri Standard Chartered–Invest Sarawak BMCC di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sesi dialog itu dikendalikan oleh moderator Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Ketua Bahagian Liputan dan Ketua Pegawai Kewangan Standard Chartered Malaysia Mushahid Syed.
Katanya, sektor swasta juga berpotensi memainkan peranan dalam pembangunan kawasan perindustrian dan perumahan, termasuk di Tanjung Embang yang dirancang sebagai kawasan industri berasaskan gas dan AeroPolis.
Beliau berkata, pembangunan berskala besar itu bukan sahaja menyediakan kemudahan asas kepada kegiatan ekonomi, malah berpotensi mewujudkan kesan pengganda yang besar kepada pertumbuhan negeri.
Abang Johari berkata, perancangan pembangunan Sarawak turut mengambil kira kedudukan geografinya yang strategik di utara pulau Borneo, dengan akses ke pasaran utama seperti Australia, Korea Selatan, Jepun, China, India dan Timur Tengah.
Menurutnya, kedudukan itu memberi kelebihan kepada Sarawak untuk menghubungkan pasaran Asia Timur dengan kawasan di sebelah barat, termasuk menerusi laluan perdagangan melalui Selat Melaka.
Beliau berkata, beberapa pasaran utama berkenaan boleh dicapai dari Sarawak menerusi penerbangan sekitar enam jam, sekali gus membuka peluang kepada pengangkutan kargo dan perdagangan antarabangsa.
“Inilah kelebihan lokasi strategik yang kita miliki. Sebab itulah saya membangunkan pelabuhan dan lapangan terbang.
“Saya turut mengkaji Doha sebagai model rujukan. Doha mempunyai kedudukan strategik di antara benua Afrika dengan Asia, manakala bagi Sarawak, kedudukan kita menghubungkan Asia Timur dengan kawasan di sebelah barat,” katanya.
Beliau berkata, dengan adanya kelebihan itu, usaha membangunkan syarikat penerbangan sendiri turut dilaksanakan bagi memastikan hubungan udara yang lebih berkesan antara Sarawak dengan pasaran luar.





