DOHA: Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi memindahkan infrastruktur maklumat kritikal kepada kriptografi pasca-kuantum, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika menyampaikan kenyataan dasar negara di Persidangan Plenipotentiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah diminta bekerjasama dengan agensi keselamatan dan pengendali telekomunikasi bagi membangunkan platform ujian bersama.
“Saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk melibatkan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara dan pengendali telekomunikasi dalam satu platform ujian penyelidikan dan pembangunan bersama.
“Ini akan membolehkan kita menguji penyelesaian bersama-sama dan mempercepatkan peralihan secara selamat,” katanya.
Menurut Fahmi, seiring perkembangan komunikasi kuantum, kerajaan dan industri perlu membina kepercayaan dan kebolehoperasian melalui piawaian bersama, ujian peralatan serta peralihan berperingkat kepada kriptografi tahan kuantum tanpa mengganggu perkhidmatan penting.
Dalam pada itu, beliau berkata liputan internet di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah mencapai 99.75 peratus kawasan berpenduduk dengan 31.3 juta langganan 5G setakat September 2026.
“Berdasarkan kemajuan ini, kita kini sedang meneliti bagaimana untuk melangkaui Liputan Kawasan Berpenduduk dan turut meliputi kawasan ekonomi utama,” jelasnya.
Beliau berkata, kawasan itu termasuk pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya, iaitu lokasi yang memerlukan kesalinghubungan yang boleh diharap untuk perniagaan, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan.
Fahmi turut berharap ITU dapat meneroka idea itu bersama negara anggota.
Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,099 Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) memperkasa komuniti dengan kemahiran digital dan peluang keusahawanan. NADI menyertai rangkaian Pusat Transformasi Digital ITU pada April 2026.
Beliau juga menyentuh mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa pada Januari 2026. Akta itu mengukuhkan akauntabiliti platform dan melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak, daripada bahaya dalam talian.
Kempen Keselamatan Internet peringkat nasional pula telah menjangkau lebih tiga juta peserta.
Malaysia yang menganggotai ITU sejak 1958 dan kini merupakan ahli Majlis ITU sedang bertanding untuk dipilih semula ke majlis tersebut bagi penggal 2027 hingga 2030.
“Kami dengan penuh hormat memohon sokongan berterusan negara anggota untuk pencalonan Malaysia,” ujar beliau.






