DOHA: Malaysia mengalu-alukan draf Deklarasi Menteri Doha kerana pendekatannya yang menyeluruh dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital, khususnya dalam memajukan masa depan digital yang lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Meja Bulat Peringkat Menteri sempena Persidangan Berkuasa Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di sini pada Ahad, 8 November.

“Deklarasi ini hadir pada waktu yang penting, ketika teknologi terus berkembang pesat dan mengubah cara kita hidup, bekerja dan menjalankan perniagaan.
“Ia memberikan kita hala tuju bersama, di samping mengiktiraf bahawa negara-negara berada pada tahap pembangunan digital yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, deklarasi itu turut mengingatkan tentang keperluan merapatkan jurang digital dan memastikan setiap orang berpeluang menyertai serta menerima manfaat daripada ekonomi digital.
Fahmi berkata, deklarasi tersebut mencerminkan tiga keutamaan yang turut menjadi teras agenda digital negara, iaitu memastikan ketersambungan bermakna, menggalakkan keterangkuman digital dan memupuk persekitaran digital yang selamat serta dipercayai.
“Ketersambungan bermakna mesti melangkaui liputan rangkaian. Ia mesti mampu milik, boleh diharap dan berdaya tahan, menyokong komuniti, perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi,” jelas beliau.
Beliau turut mengalu-alukan penekanan deklarasi itu terhadap infrastruktur digital yang berdaya tahan dan mampan, terutamanya dalam memastikan kesinambungan komunikasi penting ketika kecemasan dan gangguan.
“Bagi Kerajaan Malaysia, ini bermakna melabur dalam kemahiran digital, membina kapasiti dan menyokong inovasi supaya lebih ramai orang boleh mendapat manfaat daripada ekonomi digital,” tambahnya.
Fahmi berkata, seiring perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu lain, negara membangun serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan tidak boleh ketinggalan. Menurutnya, golongan itu wajar diberi peluang bukan sahaja untuk menggunakan teknologi tersebut, malah turut membentuknya.
Beliau berkata, deklarasi itu turut memberi tumpuan kukuh kepada keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian serta pembangunan dan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab.
“Bagi Malaysia, inovasi mesti seiring dengan perlindungan yang sewajarnya. Ini akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh teknologi digital,” ujar beliau.
Malaysia juga mengalu-alukan penekanan deklarasi itu terhadap kerjasama antarabangsa dan mengiktiraf peranan penting ITU dalam memperluas ketersambungan, membangunkan piawaian teknikal dan membina kapasiti.
“Kami menantikan kerjasama dengan ITU dan negara-negara anggota lain bagi memastikan masa depan digital kita bukan sahaja lebih bersambung dan inklusif, malah lebih selamat dan saksama untuk semua,” katanya.
Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Qatar selaku tuan rumah meja bulat tersebut.







