ARTIKEL

Toleransi sifar rasuah, kepimpinan perlu jadi teladan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) ISO 37001:2025 menjadi antara langkah penting Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) dalam memperkukuh integriti institusi dan memastikan setiap amanah pembangunan dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab.

Menterinya, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata pendekatan itu penting kerana pembangunan mampan bukan sahaja bergantung kepada pencapaian fizikal dan kemajuan infrastruktur, malah memerlukan institusi yang berintegriti, tadbir urus berkesan, penggunaan sumber secara bertanggungjawab serta budaya inovasi berterusan.

Julaihi ketika berucap. Foto: RAMIDI SUBARI

Katanya, pelaksanaan ABMS mempunyai kaitan rapat dengan aspirasi pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memastikan pembangunan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi, pelaburan serta kesejahteraan rakyat.

“Justeru, ABMS ISO 37001:2025 antara instrumen untuk memperkukuh integriti institusi dan memastikan setiap amanah pembangunan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Integriti dan Inovasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak 2026 di Hotel Hilton Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, Julaihi menambah bahawa kepimpinan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya organisasi yang berintegriti, berakauntabiliti dan berprestasi tinggi, manakala MUT bukan sekadar menetapkan hala tuju, tetapi turut perlu menjadi teladan melalui amalan tadbir urus yang baik, ketelusan serta toleransi sifar terhadap rasuah.

“Komitmen pengurusan tertinggi dalam menyokong pelaksanaan ABMS ISO 37001:2025 perlu diterjemahkan melalui tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan yang konsisten.

“Setiap warga kementerian hendaklah menghayati nilai integriti dalam melaksanakan tugas, khususnya dalam pengurusan projek infrastruktur utiliti, kelulusan lesen dan permit serta perkhidmatan sokongan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh budaya kerja berpasukan, komunikasi terbuka dan keberanian melaporkan sebarang salah laku bagi mewujudkan persekitaran kerja yang sihat.

“Kepimpinan berprinsip dan budaya organisasi yang kukuh merupakan asas kepada penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berkualiti serta mendapat kepercayaan rakyat,” jelasnya.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan aluan, Setiausaha Tetap MUT, Datuk Jafri Lias, memaklumkan bahawa kementerian mencatat satu lagi kejayaan apabila memperoleh pensijilan ABMS MS ISO 37001:2025 yang sekali gus dilancarkan oleh Julaihi pada program tersebut.

Dalam pada itu, Julaihi memberitahu bahawa integriti, inovasi dan prestasi merupakan tiga elemen penting dalam memastikan setiap perancangan pembangunan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, tanpa integriti, inovasi boleh disalahgunakan, tanpa inovasi organisasi akan ketinggalan, manakala tanpa prestasi segala perancangan hanya tinggal sebagai angan-angan.

“Pelbagai projek bekalan air yang sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak, termasuk pembinaan dan naik taraf loji rawatan, sistem penghantaran serta pengagihan air dan penggantian paip uzur, yang bakal meningkatkan mutu bekalan air bersih dan terawat kepada rakyat.

“Bagaimanapun, keluasan Sarawak dan cabaran di lapangan memerlukan usaha berterusan bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar.

“Justeru, integriti bukan hanya bermaksud tidak menerima rasuah semata-mata tetapi juga melaksanakan amanah dengan jujur, menepati masa, mematuhi peraturan, mengelakkan konflik kepentingan, bersikap adil serta berani mempertahankan perkara yang benar,” tegasnya.

BERITA LAIN

Sarawak teroka hidrogen ganti bahan api fosil

BINTULU: Sarawak mempergiat transformasi sektor perindustriannya ke arah ekonomi rendah karbon menerusi pelaksanaan empat inisiatif perintis di bawah Kluster Peralihan Industri (Transitioning Industrial Clusters atau

BERITA TERBARU

Tipak Nyawu berpotensi jadi tarikan sukan masyarakat

MUKAH: Permainan tradisional Tipak Nyawu berpotensi dikembangkan sebagai salah satu tarikan sukan masyarakat yang dapat menarik penyertaan lebih meluas, selain memastikan warisan budaya masyarakat Melanau