ARTIKEL

Foto ihsan Bernama.

Wakil Malaysia dilantik pengerusi Jawatankuasa 5 ITU PP-26 di Doha

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DOHA: Pelantikan wakil Malaysia sebagai pengerusi Jawatankuasa 5 pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan negara memainkan peranan berkecuali dalam mengimbangi kepentingan pelbagai pihak.

Pengerusi jawatankuasa itu, Eneng Faridah Iskandar, berkata pelantikan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya kejayaan besar negara.

“Saya rasa itu bukan sahaja satu kejayaan (tapi) merupakan kejayaan negara sebenarnya kerana Malaysia ini dilihat sebagai satu negara yang berkecuali dan boleh menerima pandangan kesemua pihak.

“Jadi, tugas sebagai pengerusi ini sebenarnya kita perlu mengimbangi kepentingan dan keinginan semua pihak. Jadi, kita harus berlaku adil,” katanya kepada Bernama dan RTM di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Eneng Faridah, yang juga Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas kepercayaan mencalonkannya bagi menggalas amanah berkenaan pada persidangan yang berlangsung dari 9 hingga 27 Nov ini.

Beliau berkata jawatan itu membawa amanah besar kerana bukan sahaja mewakili Malaysia, malah perlu mengambil kira kepentingan semua negara anggota yang terlibat dalam perbincangan.

Mengulas peranan Jawatankuasa 5, Eneng Faridah menjelaskan bahawa jawatankuasa substantif itu bertanggungjawab memperhalusi pelbagai isu berkaitan dasar dan perundangan dalam kerangka ITU.

Lebih 95 cadangan merangkumi lebih 40 resolusi diterima untuk dibincangkan sepanjang persidangan kali ini.

“Antara cabaran utama adalah bertindak sebagai perantara kepada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan bagi mencapai persetujuan bersama, memandangkan ITU beroperasi berasaskan konsep konsensus,” jelasnya.

Beliau berkata beberapa siri pertemuan awal diadakan sebagai persiapan menjelang mesyuarat jawatankuasa yang dijadual bermula esok, bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar.

Sebagai antara jawatankuasa utama dalam ITU PP-26, Jawatankuasa 5 yang dikenali sebagai Jawatankuasa Dasar dan Perundangan bertanggungjawab membincangkan cadangan dasar serta peraturan telekomunikasi antarabangsa, selain meneliti resolusi yang dikemukakan negara anggota ITU.

Pengerusinya memainkan peranan penting dalam mengendalikan rundingan, mengimbangi kepentingan serta merapatkan perbezaan pandangan antara negara anggota bagi mencapai konsensus, sebelum hasil perbincangan jawatankuasa berkenaan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan persidangan.

PP-26 yang berlangsung di Doha ialah persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun bagi menentukan hala tuju, dasar dan pelan strategik organisasi berkenaan.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, dengan misi mempertahankan kerusi dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

ITU ialah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hal ehwal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), merangkumi penetapan piawaian global, pengagihan spektrum radio dan penyelarasan satelit serta usaha merapatkan jurang digital sejagat.

BERITA LAIN

Malaysia perkukuh keselamatan siber

DOHA: Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi peralihan infrastruktur maklumat kritikal negara kepada kriptografi pascakuantum sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan siber dan mempersiapkan negara menghadapi

BERITA TERBARU

Malaysia perkukuh keselamatan siber

DOHA: Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi peralihan infrastruktur maklumat kritikal negara kepada kriptografi pascakuantum sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan siber dan mempersiapkan negara menghadapi