ARTIKEL

Malaysia perkukuh keselamatan siber

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DOHA: Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi peralihan infrastruktur maklumat kritikal negara kepada kriptografi pascakuantum sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan siber dan mempersiapkan negara menghadapi ancaman baharu yang dicetuskan oleh pengkomputeran kuantum.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengadakan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta pengendali telekomunikasi bagi mewujudkan platform ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama.
Beliau berkata, inisiatif itu membolehkan pihak berkepentingan berkaitan menguji penyelesaian secara bersama serta mempercepat peralihan kepada teknologi kriptografi tahan kuantum dengan selamat dan terselaras.

“Seiring perkembangan komunikasi kuantum, kerajaan dan pemain industri perlu membina kepercayaan serta kesalingoperasian melalui piawaian bersama, pengujian peralatan dan peralihan secara berperingkat kepada kriptografi tahan kuantum tanpa menjejaskan perkhidmatan penting.

“Malaysia sedang membangunkan pelan nasional untuk beralih kepada kriptografi pascakuantum bagi infrastruktur maklumat kritikal negara.

“Saya telah meminta MCMC mengadakan kerjasama dengan MKN, NACSA dan pengendali telekomunikasi untuk mewujudkan platform ujian R&D bersama.

“Langkah ini membolehkan kita menguji penyelesaian secara bersama dan mempercepat peralihan dengan selamat,” katanya ketika menyampaikan kenyataan dasar Malaysia pada Persidangan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di sini, semalam.

Semalam, Fahmi berkata, beliau telah meminta MCMC mengadakan perbincangan dengan MKN, NACSA dan syarikat telekomunikasi bagi meneroka potensi kerjasama untuk memudahkan peralihan yang lebih pantas dan selamat kepada teknologi tahan kuantum di Malaysia.

Migrasi kuantum merujuk kepada proses menaik taraf sistem keselamatan digital sedia ada bagi menggunakan teknologi penyulitan tahan kuantum yang direka untuk melindungi data daripada potensi ancaman komputer kuantum pada masa hadapan.

Fahmi kini berada di Doha untuk mengetuai delegasi Malaysia ke PP-26 ITU yang berlangsung dari 6 hingga 11 Nov.

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran.

Delegasi Malaysia turut disertai wakil MCMC dan syarikat telekomunikasi termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Sebagai agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab terhadap teknologi digital, ITU memainkan peranan penting dalam kerjasama telekomunikasi antarabangsa, penyelarasan spektrum radio serta usaha merapatkan jurang digital global.– BERNAMA

BERITA LAIN

Sarawak teroka hidrogen ganti bahan api fosil

BINTULU: Sarawak mempergiat transformasi sektor perindustriannya ke arah ekonomi rendah karbon menerusi pelaksanaan empat inisiatif perintis di bawah Kluster Peralihan Industri (Transitioning Industrial Clusters atau

BERITA TERBARU