KUCHING: Kelebihan dari segi lokasi strategik, kos tenaga yang kompetitif serta ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadikan Sarawak destinasi berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan, khususnya dalam sektor industri berteknologi moden.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai beberapa kelebihan yang boleh dimanfaatkan pelabur, termasuk kadar tarif elektrik terendah di rantau ini serta keupayaan mengawal selia bekalan tenaga sendiri.

Beliau berkata, selain faktor tenaga dan lokasi, dasar kerajaan serta sistem pendidikan negeri turut menjadi antara pertimbangan penting pelabur sebelum membuat keputusan untuk melabur.
“Mana-mana pihak yang ingin bertapak di sesuatu kawasan sudah tentu mahu memastikan pelaburan mereka menguntungkan. Tiada siapa yang melabur dalam perusahaan yang merugikan.
“Jadi, apabila Sarawak mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh memberikan pulangan kepada pelabur, mengapa tidak mereka datang dan melabur di sini?” katanya pada sesi dialog Forum Peralihan Industri Standard Chartered–Invest Sarawak BMCC di sebuah hotel di sini hari ini.
Sesi dialog itu dikendalikan oleh moderator Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Ketua Bahagian Liputan dan Ketua Pegawai Kewangan Standard Chartered Malaysia Mushahid Syed.
Menurutnya, pelabur juga perlu mengambil kira kos keseluruhan proses pengeluaran, termasuk kadar pembiayaan yang ditawarkan institusi perbankan bagi memastikan projek yang dirancang berdaya maju dalam jangka panjang.
Katanya, penilaian kos, pembiayaan dan model pengeluaran perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum pelabur membuat keputusan, selain mengambil kira potensi keuntungan yang boleh diperoleh.
Abang Johari berkata, aspek pembangunan bakat turut menjadi keutamaan kerana pelabur bukan sahaja melihat kepada kemudahan tenaga dan air, malah turut menilai dasar kerajaan serta sistem pendidikan yang mampu melahirkan tenaga kerja berpengetahuan dalam teknologi moden.
Beliau berkata, perubahan landskap ekonomi dunia ketika ini menuntut Sarawak sentiasa mengikuti perkembangan semasa, memandangkan teori dan pendekatan ekonomi tradisional tidak lagi sepenuhnya mencerminkan realiti ekonomi baharu.
“Dahulu, penekanan diberikan kepada tahap modal dan pemilikan tanah. Namun, keadaan kini sudah berubah.
“Microsoft tidak mempunyai tanah yang luas, tetapi syarikat itu mampu menguasai pasaran dunia. Begitu juga Zuckerberg yang tidak memerlukan tanah untuk membangunkan Facebook, tetapi mempunyai jutaan pengguna,” katanya.
Justeru, beliau berkata, sektor perbankan, pelaburan dan industri perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi serta perkembangan teknologi bagi memastikan Sarawak kekal berdaya saing.






