BINTULU: Masyarakat diseru agar tampil lebih proaktif sebagai ejen perubahan dalam usaha memelihara alam sekitar, sejajar dengan tuntutan semasa untuk menjamin kelestarian bumi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perubahan gaya hidup dan peningkatan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar amat penting dalam mendepani cabaran perubahan iklim serta isu pencemaran yang semakin membimbangkan.
“Kelestarian alam sekitar bukan lagi satu pilihan, sebaliknya sudah menjadi keperluan. Kita semua bertanggungjawab memelihara alam sekitar, bukan sahaja demi kesihatan kita hari ini, tetapi juga demi kesejahteraan generasi akan datang,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan aktiviti berjoging sambil mengutip sampah atau plogging sempena sambutan ulang tahun ke-30 usaha perlindungan alam sekitar Yayasan Buddhist Taiwan Tzu-Chi Malaysia di NAIM Street Mall, Paragon Bintulu pada Ahad.

Beliau turut menekankan bahawa setiap individu mampu menyumbang melalui tindakan harian yang mudah namun bermakna, termasuk mengamalkan prinsip 5R – Kurangkan (Reduce), Tolak (Refuse), Guna Semula (Reuse), Baiki (Repair), dan Kitar Semula (Recycle) seperti yang diperkenalkan oleh Yayasan Tzu-Chi.
“Tindakan sekecil mengasingkan sampah atau menggunakan semula barangan harian mampu memberi impak besar jika diamalkan secara konsisten oleh seluruh masyarakat.
“Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata. Masyarakat perlu bangkit dan memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda kelestarian,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Johnny Pang merakamkan penghargaan kepada Yayasan Tzu-Chi atas komitmen berterusan mereka dalam memperjuangkan isu alam sekitar sejak tahun 1995 di Malaysia, termasuk penubuhan pusat kitar semula dan enam lokasi kutipan tepi jalan di sekitar Bintulu.
Beliau menyifatkan usaha yayasan itu sebagai pemangkin kesedaran awam yang berjaya membudayakan nilai kepedulian terhadap alam sekitar dalam kalangan komuniti setempat.
“Usaha anda amat dihargai dan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh komuniti Bintulu. Marilah kita terus melangkah bersama ke arah masa depan yang lebih lestari dan sejahtera,” katanya.
Kira-kira 100 peserta terdiri daripada sukarelawan, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta wakil agensi kerajaan dan swasta menyertai aktiviti tersebut.




