SARIKEI: Bermula sebagai peniaga buah-buahan dan sayur-sayuran, perjalanan hidup Muhamad Masakil, 62, atau lebih dikenali sebagai Mat Akil berubah apabila dia beralih kerjaya menjadi tukang kasut lebih tiga dekad lalu.
Perubahan itu berlaku selepas beliau berpindah-randah dari satu pasar tamu ke pasar tamu yang lain di sekitar Sarikei untuk mencari tapak berniaga.
Melihat cabaran tersebut, beliau mula memikirkan alternatif lain bagi memastikan pendapatannya tidak terjejas.
“Saya terfikir untuk belajar membaiki kasut daripada abang ipar selepas lihat potensi besar bidang itu untuk jana pendapatan harian,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, hari ini.
Katanya, proses mempelajari bidang tersebut bukanlah mudah, malah mengambil masa lebih dua bulan sebelum dia berani ‘menyentuh’ kasut pelanggan.
“Pada awal memang susah, tapi apabila sudah biasa, saya mula yakin dan mencari pelanggan secara perlahan-lahan,” ujarnya.
Mat Akil mengakui hasil pekerjaan itu mampu memberikan pendapatan dan berbaloi terutama pada musim sibuk termasuk perayaan.
“Saya pernah dapat sehingga RM400 sehari, biasanya ketika banyak kasut dihantar dan diambil serentak,” jelasnya.
Situasi seperti itu pernah berlaku beberapa kali sepanjang lebih 30 tahun bekerja, terutamanya sebelum pandemik COVID-19.
“Dalam seminggu pendapatan boleh jadi lebih RM300, malah ada hari tertentu mencecah RM400, terutama musim Gawai,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa tidak ramai mengetahui dirinya dan keluarga pernah berniaga buah serta sayur sebelum serius dalam bidang jahitan kasut.
Antara pekerjaan paling mencabar baginya ialah menjahit kasut keselamatan, terutama bahagian ‘double stitch’ di lapisan atas dan bawah.
Kerja-kerja menukar tapak kasut juga memerlukan ketelitian kerana ada jenis tapak yang sukar ditanggalkan dan boleh meninggalkan kesan hitam atau merosakkan permukaan kasut.
“Kalau tukar tapak kasut Converse kepada tapak lain pun agak mencabar sebab struktur tapaknya lain daripada kasut biasa, tambahan pula saya menghadapi kekangan mesin jahit, khususnya pada bahagian jahitan tepi yang memerlukan fokus dan kekemasan” ujarnya.
Dedahnya, dari segi harga ia bergantung kepada jenis kasut — kasut sukan antara RM18 hingga RM24, manakala kasut keselamatan sekitar RM38.
Tempoh menyiapkan pula berbeza mengikut tahap kerumitan. Biasanya mengambil masa sehari, manakala menukar tapak kasut memerlukan empat hingga lima hari.
Walaupun kerja ini penuh cabaran, Mat Akil tetap setia dengan kerjaya yang mengubah kehidupannya itu dan menjadi punca rezeki keluarganya sehingga hari ini.



