ARTIKEL

Sagah bersama-sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Mata pelajaran Sains Komputer dan Reka Bentuk Diajar Dalam Bahasa Inggeris Mulai 2029

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju supaya mata pelajaran Sains Komputer dan Reka Bentuk diajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris kepada murid Program Dwibahasa (DLP) Sarawak mulai 2029.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, persetujuan itu dicapai melalui libat urus berterusan dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi pencapaian penting dalam memperkukuh kesinambungan laluan DLP.

“Kejayaan ini juga menyokong pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, mata pelajaran tambahan yang akan diajar dalam bahasa Inggeris itu merupakan langkah penting kerana kedua-duanya mempunyai kaitan dengan bidang STEM.

Sagah menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

“Sains Komputer akan diajar dalam bahasa Inggeris kerana bahasa pengaturcaraan dan sistem komputer secara umumnya berasaskan bahasa tersebut.

“Kecerdasan buatan (AI) pula mempunyai keupayaan memproses dan menghasilkan respons dalam pelbagai bahasa.

“Bagi subjek Reka Bentuk pula, ia lebih menjurus kepada reka bentuk struktur atau kejuruteraan. Justeru, subjek ini tetap berkaitan dengan bidang sains dan bukan seni semata-mata,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, kementerian kini bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan KPM bagi memastikan kesiapsiagaan penuh pelaksanaan, termasuk kesediaan guru serta mekanisme sokongan penyampaian.

Sagah turut memaklumkan bahawa kohort pertama murid DLP Sarawak kini berada di tingkatan satu dan akan memasuki tingkatan empat pada 2029.

Dalam hal berkaitan, beliau menjelaskan Ujian Penilaian-Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS) tahun enam pada tahun ini akan menggunakan sistem penandaan dalam talian.

Dalam perkembangan berkaitan, ujarnya Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) kini diperluas untuk merangkumi murid tingkatan satu dan tingkatan dua selain tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan lima.

“Dengan peluasan ini, program dijangka memberi manfaat kepada 112,616 murid di 186 sekolah di seluruh negeri.

“Peluasan ini mencerminkan komitmen berterusan kita dengan intervensi awal, khususnya dalam memperkukuh kompetensi asas serta meningkatkan kesiapsiagaan murid untuk pendidikan menengah atas dan akhirnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” tambahnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU