ARTIKEL

Mawan menikmati antara hidangan yang disediakan oleh Pergerakan Pengakap.

Mawan mahu komuniti bersama bangunkan Pergerakan Pengakap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Majlis Pengakap Sarawak akan terus memperluaskan pelaksanaan inisiatif Community-Based Scouting dan Friends of Scouting bagi memperkukuh pembangunan belia serta mengeratkan hubungan antara Pergerakan Pengakap dengan komuniti di seluruh negeri.

Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, berkata pendekatan itu menekankan penglibatan menyeluruh masyarakat dalam membimbing dan membentuk generasi muda tanpa bergantung kepada sekolah atau pemimpin pengakap semata-mata.

Mawan menyampaikan sijil Komuniti Pengakap kepada Tuai Rumah Anding Egoh, antara penerima sijil berkenaan.

Menurut beliau, pembangunan belia perlu dipikul bersama oleh ketua masyarakat, ibu bapa, sektor swasta, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar lahir generasi yang berilmu, berdisiplin, berintegriti serta mempunyai semangat khidmat kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Pengakap Sarawak 2026 di Dewan Masyarakat Pakan, malam tadi.

Beliau yang juga Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) berkata, inisiatif Community-Based Scouting dan Friends of Scouting yang dilancarkan oleh Ketua Pengakap Negara di Serian pada 14 Jun 2024 sebelum diperluaskan ke Bintulu pada 17 Januari 2026 kini diteruskan di Pakan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Beliau yakin Pakan dan Julau berpotensi menjadi contoh terbaik pelaksanaan inisiatif tersebut di Sarawak berdasarkan semangat kerjasama komuniti yang masih kukuh diamalkan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru penghulu, pemanca, tuai rumah serta ketua masyarakat menjadi rakan strategik kepada Pergerakan Pengakap dengan menggalakkan anak-anak muda menyertai pelbagai aktiviti pengakap.

TERIMA KENANGAN… Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Ngiling Bidai Pengakap Sarawak, Chendang Kayong, menyampaikan cenderamata kepada Mawan.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pemimpin pengakap agar terus mendekati masyarakat menerusi lebih banyak program kemasyarakatan seperti gotong-royong, pemuliharaan alam sekitar, khidmat masyarakat, kesihatan, keselamatan, bantuan bencana serta latihan kepimpinan belia.

Menurut beliau, masyarakat perlu melihat bahawa Pergerakan Pengakap sentiasa hadir dan bersedia berkhidmat apabila diperlukan.

Dalam ucapannya, William Mawan turut menegaskan bahawa penganjuran Majlis Ngiling Bidai bukan sekadar penutup sambutan Gawai, malah menjadi simbol kesyukuran, perpaduan serta penghormatan terhadap warisan budaya yang menjadi identiti Sarawak.

Beliau berkata, perpaduan tidak dapat dibina melalui ucapan semata-mata, sebaliknya lahir daripada pertemuan, pengalaman bersama serta sikap saling memahami dan menghormati kepelbagaian budaya.

Katanya, sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya dan agama, Sarawak perlu terus memelihara keharmonian kerana ia merupakan kekuatan terbesar negeri.

Beliau turut menjelaskan bahawa Majlis Pengakap Sarawak sentiasa memastikan setiap perayaan utama diraikan secara adil dan seimbang sebagai sebahagian daripada usaha mendidik ahli pengakap menghormati kepelbagaian budaya dan agama.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Chendang anak Kayong, bersama seluruh jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan Majlis Ngiling Bidai Pengakap Sarawak 2026.

Pada malam itu juga, seramai 20 tuai rumah menerima sijil Komuniti Pengakap di Pakan.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah program bukan bergantung kepada seorang pemimpin semata-mata, sebaliknya hasil kesungguhan dan kerjasama seluruh pasukan, selaras dengan semangat Pengakap yang menekankan nilai bekerja bersama, memimpin bersama, berkhidmat bersama dan berjaya bersama.

Mengakhiri ucapannya, William Mawan berharap semangat perpaduan yang dipupuk menerusi majlis berkenaan akan terus berkembang bagi melahirkan generasi muda yang cintakan perpaduan serta bersama-sama membina Sarawak yang lebih maju, harmoni dan sejahtera.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU