ARTIKEL

Sekitar rakaman ketika Maxim Malaysia dengan kerjasama HUS menyantuni 50 ibu.

Maxim Malaysia santuni 50 ibu baharu di HUS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Maxim Malaysia dengan kerjasama Hospital Umum Sarawak (HUS) menyantuni 50 ibu baharu melahirkan anak menerusi pemberian pek hadiah dan baucar perjalanan percuma bersempena dengan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia.

Program tersebut juga merupakan inisiatif khas bagi menghargai ibu di wad bersalin, sekali gus menyaksikan pemberian pek hadiah yang mengandungi botol susu bayi serta mainan pertama bayi, di samping baucar perjalanan percuma daripada Maxim.

Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata baucar tersebut boleh digunakan bukan sahaja selepas keluar dari hospital, malah untuk perjalanan seterusnya seperti menghadiri pemeriksaan kesihatan, membawa bayi mendapatkan rawatan atau menjalankan urusan harian lain dengan lebih mudah dan selesa.

Katanya, HUS merupakan hospital rujukan awam tertiari utama serta fasiliti penjagaan kesihatan terbesar di Sarawak.

“Sebagai pusat rujukan utama negeri, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi hospital ini mengendalikan jumlah kes materniti yang tinggi, termasuk kes rujukan daripada hospital daerah dan pusat perubatan swasta di seluruh Sarawak.

“Justeru, melalui inisiatif ini, Maxim Malaysia menyokong ibu dan bayi baharu lahir di salah satu pusat perkhidmatan materniti yang paling penting di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, tambahnya, kadang-kadang perkara yang paling bermakna datang dalam bentuk yang paling sederhana.

“Membantu seorang ibu pulang dengan selamat tanpa perlu risau tentang pengangkutan serta memberikan sedikit ketenangan ketika memulakan kehidupan bersama-sama bayi yang baru dilahirkan adalah antara matlamat kami,” ujarnya.

Sekitar rakaman ketika Maxim Malaysia dengan kerjasama HUS menyantuni 50 ibu.

Dalam pada itu, wakil HUS turut merakamkan penghargaan terhadap kerjasama tersebut.

“Apabila pihak swasta memberi perhatian kepada perkara-perkara kecil seperti ini, ia membawa makna yang besar.

“Penjagaan terhadap seorang ibu bukan sahaja bermula di bilik rawatan, tetapi juga melalui keselesaan, keselamatan dan perjalanan pulang mereka.

“Kami amat menghargai kehadiran serta sokongan Maxim dalam menjayakan inisiatif sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia ini,” jelasnya.

Sementara itu, petugas kejururawatan di wad bersalin dan ibu turut menyambut inisiatif tersebut dengan penuh kegembiraan.

Ramai yang mengakui tidak menjangkakan pemberian itu dan berasa lega kerana isu pengangkutan selepas keluar dari hospital, terutamanya bagi mereka yang tinggal jauh atau mempunyai anak lain yang menunggu di rumah, dapat sedikit sebanyak diringankan.

Maxim Malaysia berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan diperluaskan ke hospital lain di seluruh negara sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong kesejahteraan komuniti.

Untuk rekod, inisiatif ini diadakan bersempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyusuan susu ibu serta menggalakkan sokongan berterusan kepada ibu dan bayi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU