Mayat diikat batu di leher, pinggang ditemui

SIBU: Mayat seorang lelaki yang diikat dengan lebih 10 biji batu di leher dan pinggangnya ditemui terapung di Sungai Rajang berdekatan dermaga persendirian di Jalan Lanang di sini.

Bagaimanapun, mayat terbabit masih belum diketahui identitinya ditemui sekitar jam 6 petang semalam.

Ketika ditemui mayat terbabit dikatakan hanya berseluar panjang.

Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) yang dihubungi kemudian bergegas ke tempat kejadian.

Mayat mangsa berjaya dibawa naik ke darat sekitar jam 8 malam

Mayat kemudian dibawa ke hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, sumber polis ditemui di tempat kejadian enggan mengulas lanjut mengenai batu bata yang dijumpai di badan mangsa.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan suspek dibunuh atau sebaliknya. Biar urusan bedah siasat dijalankan baharu lagi kita tahu,” katanya sebentar tadi.

Usaha untuk mendapatkan pengesahan Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit bagaimanapun gagal.