ASAJAYA: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan terapung di kawasan laut dekat Kampung Sampun Tebun di sini, Ahad lepas.
Komander Operasi TPgB II Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jak 12.45 petang dan mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya ke lokasi.
“Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini berjaya menjumpai mayat itu di kawasan lumpur sekitar jam 11 pagi tadi.
“Pasukan SAR berusaha mengeluarkan mangsa yang dijumpai dalam keadaan tertiarap dan patah kaki sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohamad, pasukan SAR kemudian tiba di jeti nelayan Kampung Sampun Tebun bersama mayat mangsa pada jam 2.15 petang.
Beliau berkata, jasad terbabit kemudian diserahkan kepada polis pada jam 2.30 petang.
Terdahulu, Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan dari penduduk kampung yang bertindak mengikat mayat itu pada sebatang pokok supaya tidak dihanyutkan oleh ombak.
Sementara itu, Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, mayat tersebut akan dibawa ke Kuching untuk proses pengecaman.
“Ia bagi proses pengesahan identiti sama ada jasad itu milik nelayan Thailand yang masih hilang selepas lima nelayan lain ditemui selamat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.
Pada Jumaat, operasi SAR seorang lagi lelaki warga negara Thailand yang hilang di perairan Pulau Burong, 17 Disember lepas akibat bot karam ditamatkan jam 6 petang.
Tambah Farhan, seorang mangsa lelaki dijumpai selamat pada Selasa manakala seorang lagi, warganegara asing dijumpai selamat di kawasan sungai Serpan Laut, Asajaya di sini pada jam 3.30 pagi, hari yang sama.
Sementara seorang lagi, berusia dalam lingkungan awal 40-an telah dijumpai dan diselamatkan di Tanjung Po Muara Tebas oleh sebuah kapal laut yang dalam perjalanan ke Sibu pada jam 3 petang.
Dalam pada itu kata Farhan, pada hari pertama operasi SAR Isnin lepas berjaya menyelamatkan tiga lelaki warganegara asing berusia antara 23 hingga 32 tahun di dalam laut Tg Sipang.



