MIRI: Kehilangan seorang wanita yang dikhuatiri lemas di Sungai Long Miri, Ulu Baram pada Isnin lalu kini terungkai apabila mayatnya ditemui oleh penduduk kampung hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima makluman berkenaan penemuan mayat wanita itu pada 4.15 petang.
“Menurut maklumat daripada pihak kampung, mayat mangsa ditemui pada jarak 800 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum ini iaitu di Tenen No.2.
“Mayat mangsa dalam keadaan sempurna, dan dipercayai meninggal akibat lemas di kawasan sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pihak bomba telah menerima laporan mengenai kehilangan seorang wanita berusia 63 tahun yang dipercayai mandi di sungai.
Katanya, sebelum kejadian mangsa dilihat oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak normal iaitu di bawah pengaruh alkohol menuju ke Tenen No.2 untuk mandi namun tidak pulang ke rumah sehingga jam 8 malam.
Sehubungan itu, pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi telah mempergiatkan lagi operasi SAR yang kini memasuki hari keenam dalam usaha mencari mangsa sehingga mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung.


