LUNDU: Penduduk sekitar Sungai Batang Kayan digemparkan dengan penemuan mayat seorang warga emas di tebing sungai berkenaan tengah hari tadi.
Mayat lelaki itu ditemui hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam kepada pihak berkuasa sebelum polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, pihak bomba menerima permohonan bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 12.50 tengah hari bagi membantu mengangkat mayat yang berada di kawasan tebing sungai.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu tiba di lokasi beberapa minit kemudian dan mendapati mayat mangsa berada di kawasan berhampiran sungai.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Lipi Anak Jain, seorang lelaki warga emas berusia sekitar 70 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah PGO, berikutan kedudukan mangsa yang sukar diakses, anggota bomba menjalankan operasi khas bagi membawa keluar mayat dari lokasi penemuan.
Mayat mangsa kemudian dimasukkan ke dalam beg mayat sebelum dibawa ke daratan menggunakan bot aluminium sepanjang operasi berkenaan.
“Kerja-kerja pemindahan berjalan lancar dengan kerjasama anggota bomba dan polis yang berada di lokasi.

“Operasi melibatkan tiga anggota BBP Lundu dan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2 petang.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses siasatan dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi keperluan bantuan di lokasi.
Setakat ini katanya punca kematian mangsa masih belum diketahui dan kes berkenaan sedang disiasat oleh pihak polis.


