KUCHING: Mayor’s Walk kembali bagi edisi 2026 di Boulevard Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Padungan pada 16 Ogos ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, pendaftaran secara percuma dibuka bermula hari ini menerusi aplikasi telefon pintar iPeople dengan setiap peserta yang mendaftar menerima baju Mayor’s Walk secara percuma, selagi stok masih ada.
“Peserta boleh mengambil baju mereka pada 14 Ogos 2026 dari 9 pagi hingga 4 petang dan pada 15 Ogos 2026 dari 9 pagi hingga 1 petang.
“Sila bawa dan tunjukkan kod bar pendaftaran daripada aplikasi iPeople anda untuk tujuan pengesahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media Mayor’s Walk 2026 di bangunan MBKS di sini, hari ini.
Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya mendaftar lebih awal bersama-sama ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja, sekali gus memeriahkan program berkenaan.
“Ini bukan satu pertandingan, tetapi tentang meluangkan masa berkualiti bersama-sama insan tersayang, menjalin persahabatan baharu, menikmati keindahan bandar raya dan mengingatkan diri bahawa kekal aktif merupakan antara cara paling mudah untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat dan lebih bahagia,” katanya.
Wee turut merakamkan penghargaan tulus kepada para penaja yang memberi sokongan dalam acara tersebut.




