MUKAH: Pembangunan Mukah Biotech Economic Zone (MBEZ) yang dirancang secara strategik diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Bahagian Mukah, sekali gus memperkukuh kedudukan kawasan itu sebagai hab bioteknologi utama di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, pembangunan MBEZ merupakan antara perancangan utama kerajaan bagi mentransformasikan Mukah supaya berkembang seiring dengan bandar-bandar lain di negeri ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pusat Bandar Mukah 2030.
“Pelaksanaan pembangunan yang dirancang bukan sahaja akan menarik lebih banyak pelaburan, malah dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta merangsang pembangunan sosioekonomi yang mampan demi manfaat masyarakat setempat.
“Ini adalah antara perancangan utama untuk membangunkan Mukah agar seiring dengan pembangunan bandar-bandar lain di Sarawak selaras dengan Pelan Pembangunan Pusat Bandar Mukah 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perancangan Pembangunan Kawasan MBEZ yang dipengerusikan Residen Bahagian Mukah, Bujang Seli.
Menyentuh mengenai mesyuarat itu, ia diadakan bagi membincangkan perancangan pembangunan strategik kawasan MBEZ susulan pelaksanaan fasa pertama projek itu pada tahun 2013 di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LCDA).
Ujarnya, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan pembangunan MBEZ dilaksanakan secara lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Bahagian Mukah.
Dalam mesyuarat sama, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah bersama LCDA membentangkan taklimat mengenai Pelan Struktur Kawasan MBEZ yang merangkumi hala tuju pembangunan, perancangan guna tanah serta cadangan pembangunan bagi menyokong pertumbuhan sektor bioteknologi, perindustrian dan pelaburan di kawasan berkenaan.
“Pelaksanaan pembangunan secara menyeluruh itu akan memperkukuh lagi peranan Mukah sebagai pusat bioteknologi di Sarawak, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
“Diharapkan pembangunan yang dirancang ini dapat mempercepat usaha menjadikan Mukah sebagai sebuah bandar yang lebih moden, berdaya saing dan berdaya tahan selaras dengan agenda pembangunan jangka panjang kerajaan negeri,” tambahnya.



