KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini mengagihkan pelitup muka secara percuma di Pasar Kenyalang dan Pasar Sungai Apong bagi membantu orang awam berdepan situasi jerebu.
Usaha itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran kesihatan awam, selain menggalakkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan kualiti udara yang semakin terjejas akibat jerebu.

Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng, bersama beberapa Ahli Majlis MBKS dan pemimpin masyarakat turun padang mengagihkan pelitup muka kepada penjaja, peniaga, pengunjung pasar serta orang awam di kedua-dua lokasi berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Saramed Sdn Bhd dan Tay Motors atas sumbangan pelitup muka untuk diagihkan kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada Saramed Sdn Bhd dan Tay Motors kerana tampil menyokong masyarakat ketika situasi jerebu ini.
“Sumbangan seperti ini amat bermakna kerana membolehkan kita mendekati orang awam secara langsung dan mengingatkan mereka supaya menjaga kesihatan,” katanya.

Tambahnya, situasi jerebu tidak wajar dipandang ringan, terutama apabila kualiti udara merosot ke tahap tidak sihat.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini bacaan kualiti udara dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.
Katanya, golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang lebih sensitif terhadap pencemaran udara perlu diberi perhatian khusus sepanjang tempoh jerebu.
“Orang ramai disaran mengurangkan aktiviti luar yang tidak perlu apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat serta memakai pelitup muka yang sesuai ketika berada di luar,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan tubuh kekal terhidrat, selain menutup pintu dan tingkap apabila keadaan memerlukannya bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar ke dalam rumah.
Menurutnya lagi, orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan pendedahan kepada jerebu.
“Jerebu memberi kesan kepada kita semua. Ketika pihak berkuasa terus memantau keadaan, setiap individu juga mempunyai peranan dalam melindungi diri dan keluarga.
“Jangan memandang rendah kesan pendedahan berpanjangan kepada udara yang tidak sihat dan
ambillah langkah berjaga-jaga yang diperlukan,” tambahnya.
Tegas beliau, MBKS akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan bekerjasama dengan agensi berkaitan serta rakan komuniti bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan Kuching Selatan terus terpelihara.




