KUCHING: Program Saringan Kesihatan 4.0 akan diperluas ke lebih banyak kawasan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), termasuk sekolah, bagi memastikan lebih ramai rakyat Sarawak mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan awal.
Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng, berkata program itu memberi tumpuan kepada komuniti B40 dengan lokasi penganjuran dipilih berhampiran kawasan penempatan mereka supaya lebih mudah mendapatkan perkhidmatan saringan kesihatan.
“Seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), tiada siapa harus tercicir.
“Sebab itu kita membawa program ini terus kepada komuniti yang memerlukannya dan selepas ini akan memperluaskannya ke lebih banyak kawasan di bawah MBKS,” katanya ketika ditemui pada Program Saringan Kesihatan 4.0 di sini, hari ini.
Beliau berkata program itu sebelum ini diadakan di beberapa lokasi termasuk Batu Kawa, Krokop dan Miri sebelum diteruskan di Kuching, manakala lokasi seterusnya akan melibatkan sekolah bagi memberi peluang kepada guru serta ibu bapa menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pada masa sama, Wee berkata kejayaan program berkenaan banyak bergantung pada kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan komuniti yang tampil menghulurkan bantuan secara percuma.
“Pelbagai kemudahan pemeriksaan kesihatan disediakan tanpa dikenakan sebarang bayaran hasil sumbangan NGO seperti Lions Club, Leo Club, Persatuan Diabetes serta doktor pesara yang secara sukarela menyumbang kepakaran mereka.
“Mereka bukan sahaja menyumbang peralatan dan kemudahan yang bukan murah nilainya, malah doktor yang telah bersara juga sanggup kembali berkhidmat secara sukarela demi memastikan masyarakat mendapat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Beliau turut memuji semangat kesukarelawanan yang dipamerkan golongan muda menerusi penglibatan ahli Leo Club yang didedahkan dengan budaya berkhidmat kepada masyarakat sejak usia muda.
Menurutnya, setiap individu mempunyai peranan masing-masing dalam membina masyarakat yang penyayang dan saling membantu. Sehubungan itu, orang ramai diseru bersama-sama menyumbang mengikut kemampuan demi kesejahteraan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan menggalakkan daripada orang ramai membuktikan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kesihatan semakin meningkat dan MBKS akan meneruskan pemeriksaan sehingga semua yang hadir menerima perkhidmatan.
Program itu yang berlangsung di Foodcourt Basement Song Kheng Hai menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma merangkumi ujian paras glukosa darah, tekanan darah dan Indeks Jisim Badan (BMI).



