KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menegaskan pihaknya konsisten menjalankan penguatkuasaan berkaitan iklan pemberi pinjam wang haram yang dipasang secara tidak sah di kawasan pentadbirannya.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, tidak adil dan mengelirukan apabila MBKS serta Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dijadikan sasaran, seolah-olah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Untuk rekod, pasukan penguatkuasaan MBKS menjalankan operasi harian menanggalkan iklan haram di seluruh Kuching Selatan.
“Tindakan ini bukan bermusim atau hanya selepas mendapat perhatian umum, sebaliknya merupakan sebahagian rutin harian serta Prosedur Operasi Standard (SOP) kami,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut mendedahkan bukti bergambar yang dirakam pada 21 Ogos lalu, menunjukkan pegawai penguatkuasaan MBKS sedang menanggalkan poster dan pelekat iklan pinjaman haram.
“Kami menampilkan gambar yang dirakam sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan bagi membuktikan bahawa tindakan penguatkuasaan MBKS tidak bergantung kepada kritikan mana-mana pihak,” tegasnya.
Menurut beliau, di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Iklan) 2012, tindakan memasang iklan haram merupakan satu kesalahan.
“Pesalah boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan.
“Bagi kesalahan berterusan, denda tambahan sehingga RM200 sehari boleh dikenakan. MBKS menggunakan kuasa ini dalam bidang kuasa kami,” katanya.
Beliau menegaskan usaha membanteras kegiatan sindiket tersebut tidak boleh dibebankan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata.
Katanya, menuding jari kepada MBKS dan MPP sebagai tidak aktif adalah tidak adil serta menimbulkan persoalan; sama ada kritikan itu benar-benar bertujuan menyelesaikan masalah atau sekadar meraih keuntungan politik?





