KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) berharap kerjasama sulung dengan MIDEA menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik jangka panjang dalam memperkukuh ekosistem gastronomi bandar raya ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, sumbangan 144 peralatan elektrik oleh MIDEA kepada Pavilion Gastronomi Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) 2026 membuktikan sokongan berterusan sektor swasta terhadap usaha Kuching memperkukuh kedudukannya sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.
Beliau berkata, peralatan elektrik itu akan digunakan oleh cef yang mengambil bahagian bagi menyediakan kemudahan memasak, sekali gus membolehkan mereka memperkenalkan cita rasa autentik dari bandar masing-masing kepada pengunjung.
“Peralatan ini akan membantu cef yang menyertai Pavilion Gastronomi UCCN menyediakan dan mempersembahkan hidangan asli dari bandar masing-masing kepada masyarakat Kuching.
“Saya merakamkan penghargaan kepada MIDEA kerana mempercayai inisiatif ini serta menjalin kerjasama dengan MBKS. Sokongan ini menyumbang kepada kejayaan penganjuran Pavilion Gastronomi UCCN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penyerahan peralatan elektrik MIDEA untuk Pavilion Gastronomi UCCN 2026 di MBKS, di sini, hari ini.
Peralatan elektrik tajaan bernilai kira-kira RM100,000 itu merangkumi pendingin hawa mudah alih, peti sejuk beku, ketuhar gelombang mikro, periuk tekanan elektrik, dapur induksi, pengisar, cerek elektrik dan kipas elektrik.
Dalam pada itu, Wee berkata MBKS merancang memanfaatkan peralatan berkenaan untuk pelbagai program kulinari pada masa depan, termasuk menganjurkan pertandingan cef Sarawak.
Tambahnya, Pavilion Gastronomi UCCN yang berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos sempena Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO – Bandar Kreatif Gastronomi di Tapak Pesta Kuching akan menampilkan 20 reruai gastronomi.
Katanya, pengunjung berpeluang menikmati hidangan autentik yang disediakan cef dari Chengdu dan Quanzhou di China, Buraydah dan Madinah di Arab Saudi, Iloilo di Filipina, Belo Horizonte di Brazil serta Lucknow di India.
Pavilion itu, katanya, turut mengetengahkan warisan kulinari Sarawak menerusi Bufet Tuak yang melibatkan sembilan pengeluar tempatan sebagai platform mempromosikan budaya serta produk tradisional negeri ini.
Wee yang juga Presiden Persatuan Gastronomi Kuching berkata, penganjuran program seumpama itu membuktikan makanan bukan sekadar untuk dinikmati, malah menjadi medium yang menghubungkan masyarakat, mengeratkan persahabatan dan meningkatkan pemahaman antara budaya.
“Makanan mampu menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Itulah semangat sebenar Sarawak dan semangat yang dibawa oleh Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Persatuan Teochew akan melancarkan sebuah buku resipi yang mendokumentasikan hidangan tradisional masyarakat itu sempena Mesyuarat Tahunan UCCN di sebuah hotel di bandar raya ini.
Katanya, buku berkenaan akan dilancarkan oleh Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Menurutnya, usaha mendokumentasikan asal usul dan evolusi makanan tradisional amat penting bagi memelihara warisan kulinari Sarawak, selain memastikan sejarah serta identiti masakan tempatan terus diwarisi oleh generasi akan datang.






