KUCHING: Penjaja dan pemilik gerai memainkan peranan penting dalam memastikan penduduk setempat serta para pekerja mendapat pilihan makanan pada harga berpatutan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, program Sambutan Tahun Baru Cina Bersama Penjaja Pasar Bintawa mengiktiraf sumbangan serta khidmat mereka kepada komuniti selama ini.
“Mereka banyak membantu bandar ini dengan memastikan makanan ditawarkan pada harga yang murah dan berpatutan untuk penduduk berhampiran serta mereka yang bekerja di sekitar kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Bersama Penjaja Pasar Bintawa di Pusat Penjaja Bintawa, hari ini.
Menurutnya, majlis tersebut juga bertujuan merapatkan hubungan selain menyediakan platform kepada para peniaga untuk berkongsi isu, cabaran serta cadangan penambahbaikan.


“Penganjuran program seumpama ini bukan inisiatif sekali sahaja, sebaliknya merupakan usaha berterusan bagi mengekalkan komunikasi rapat dengan komuniti penjaja.
“Kenyalang serta beberapa pasar lain akan menyusul,” jelasnya.
Tegasnya, MBKS komited menyokong komuniti penjaja dengan mengekalkan kadar sewaan yang stabil serta terus melabur dalam penambahbaikan kemudahan apabila memperoleh peruntukan geran.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa semua makanan yang disajikan termasuk kuih-muih, sate dan hidangan tradisional lain disediakan sendiri oleh para penjaja, manakala MBKS menyediakan modal bagi pembelian bahan mentah.
“Ini adalah selaras dengan semangat kemasyarakatan. Kami mahu semua orang merasakan adanya rasa kebersamaan.
“Tempat ini milik anda kerana anda adalah sebahagian daripada keluarga, dan kami sebagai majlis bandar raya juga sebahagian daripada keluarga anda,” tambahnya.


