KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan terus melaksanakan semburan pengasapan (fogging) secara berkala bagi membendung kes demam denggi di kawasan yang dikenal pasti.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, pihak majlis sentiasa memantau kawasan terbabit.
“Sebaik sahaja laporan diterima, Jabatan Kesihatan Negeri akan memaklumkan kepada pihak majlis kerana kerja-kerja pengasapan dilaksanakan oleh kami.
“Jika perlu dilakukan pengasapan secara berkala di kawasan tersebut sehingga tiada kes dilaporkan, kami akan melaksanakannya. Langkah ini akan diteruskan sehingga tiada kes dikesan di kawasan yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kes denggi di kawasan pentadbiran MBKS semasa menghadiri majlis penyerahan projek naik taraf tandas awam mesra OKU dan warga emas di Pasar Petanak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kes denggi yang berlaku di kawasan MBKS bulan lalu, beliau memaklumkan keadaan kini berada di bawah kawalan.
“Kami melakukan pengasapan tiga kali seminggu. Kita tidak mahu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, namun kerja-kerja pengasapan tetap dijalankan secara berterusan.
“Walaupun kes telah reda, kami tidak mahu mengambil sebarang risiko, justeru usaha pengasapan akan diteruskan sehingga tiada lagi kes denggi dikesan,” katanya.



