KUCHING: Seramai 340 pelajar Muslim daripada keluarga B40 di bawah Kumpulan Institusi Pembelajaran Sarawak Skills menerima bantuan kewangan daripada MBSB Bank Berhad bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang mengikuti pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBSB Bank yang bertujuan menyokong pelajar daripada latar belakang berpendapatan rendah serta membantu mengurangkan beban kewangan mereka ketika menuntut ilmu.
Setiap pelajar menerima bantuan kewangan sebanyak RM250 yang terdiri daripada 155 pelajar Sarawak Skills Kuching, 44 pelajar Institut Automotif dan Kimpalan Sarawak, 16 pelajar Sarawak Skills Sri Aman, 46 pelajar Sarawak Skills Mukah, seorang pelajar Sarawak Skills Bintulu, 62 pelajar Sarawak Skills Miri serta 16 pelajar Institut Latihan Vokasional Pertanian Sarawak.
Majlis penyerahan cek replika ini disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri bersama Pengarah Wilayah MBSB Bank bagi Wilayah Sarawak Hawina Abang Hipni yang berlangsung di Sarawak Skills Kuching.
Hallman turut merakamkan penghargaan kepada MBSB Bank Berhad atas sumbangan yang disifatkan amat bermakna serta komitmen berterusan dalam menyokong pendidikan dan kebajikan pelajar.
“Bantuan ini akan memberi manfaat besar kepada pelajar daripada keluarga B40 kerana dapat membantu meringankan beban kewangan mereka sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan pembangunan kemahiran.
“Inisiatif seperti ini turut mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dan rakan industri dalam menyokong pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran dan kompeten,”katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Sarawak Skills kekal komited menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti serta akan terus bekerjasama dengan rakan industri dan pelbagai organisasi bagi memastikan pelajar mendapat sokongan sewajarnya sepanjang tempoh pengajian mereka.



