KUCHING: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama strategik bagi meningkatkan kesiapsiagaan menangani risiko rasuah dan salah laku dalam persekitaran digital yang kompleks.
Kerjasama dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang meliputi bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti.
Kerjasama berkenaan bertujuan menyokong akauntabiliti dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, selain memperluas sinergi antara agensi ke arah budaya kerja lebih telus, beretika dan bertanggungjawab.
MoU itu menggariskan pendekatan rentas agensi melalui perkongsian kepakaran dalam penguatkuasaan, penyiasatan, teknologi digital, pengurusan maklumat dan pencegahan rasuah, termasuk amalan terbaik berkaitan tadbir urus, integriti serta pengurusan risiko.
Kedua-dua agensi juga akan memperluas pembangunan pengetahuan dan kemahiran menerusi program advokasi, latihan, perkongsian ilmu serta pembangunan kapasiti.
Kerjasama itu turut memanfaatkan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik dan berkesan.
MCMC berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan peranannya sebagai penggerak ekosistem komunikasi dan multimedia negara serta usaha meningkatkan keyakinan rakyat, industri dan pelabur terhadap institusi awam.



