ARTIKEL

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn. FOTO GHAZALI BUJANG

MDS perlu proaktif dan efisien laksana projek kerajaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis Daerah Serian (MDS) perlu menjadi lebih proaktif dan efisien dalam melaksanakan projek pembangunan yang telah diluluskan, tegas Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, MDS kini bukan lagi sekadar sebuah majlis yang menjalankan kutipan sampah atau pentadbiran asas seperti dahulu, sebaliknya harus bersedia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negeri.

“Serian bukan sebuah majlis baharu. Tetapi kita perlu melakukan lebih banyak perkara untuk menjadikannya lebih rancak.

“Saya harap pelantikan ahli-ahli majlis baharu ini menjadi titik tolak kepada usaha mempercepat dan memperkemas pelaksanaan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis angkat sumpah pengerusi, timbalan pengerusi dan ahli-ahli majlis MDS di sebuah hotel di sini, hari ini.

Roland menegaskan bahawa dalam era pembangunan moden dan bersepadu melalui agensi seperti Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), peranan pihak berkuasa tempatan telah berkembang secara signifikan.

“Kini majlis diberi tanggungjawab melaksanakan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan juga projek di bawah GKCDA.

“Malangnya, kita masih bergerak agak perlahan. Dengan pelantikan pengerusi baharu dari Samarahan, saya yakin kita dapat menggerakkan projek dengan lebih pantas,” ujarnya.

Menurut beliau, terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa projek kerajaan yang telah pun diluluskan.

“Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga baru-baru ini melahirkan rasa tidak puas hati kerana banyak projek yang telah diluluskan masih belum dilaksanakan.

“Kalau kita tidak belanja peruntukan itu, kita yang rugi dan rakyat juga tidak dapat menikmati manfaatnya,” katanya lagi.

Roland turut menyatakan keyakinan bahawa pelantikan Datuk Peter Minos sebagai Pengerusi MDS yang baharu mampu membawa perubahan positif kepada Serian.

“Dengan pengalaman lebih 10 tahun di Kota Samarahan, saya yakin beliau akan memberikan nafas baharu kepada Serian.

“Bukan sekadar Little New Zealand. Kita sepatutnya bina Big New Zealand. Tambahan pula, kita ada Timbalan-Timbalan Menteri yang boleh membantu,” katanya sambil berseloroh.

Beliau turut mengingatkan bahawa pihak berkuasa tempatan kini merupakan entiti kerajaan peringkat ketiga yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

“Sebagai ahli majlis, anda adalah ‘kerajaan’ bagi kawasan anda.

“Anda mesti menjadi mata dan telinga rakyat untuk menyampaikan isu-isu yang memerlukan perhatian kepada pihak atasan,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menggesa agar semua projek pembangunan yang dibawa oleh ADUN dan Ahli Parlimen dilaksanakan dengan baik, kerana sebahagian besarnya melibatkan peranan majlis daerah.

“Kita ada peruntukan RTP sebanyak RM5 juta setahun bagi setiap ADUN, dan antara RM2.5 juta hingga RM3 juta daripada Ahli Parlimen.

“Jika semua pihak dalam majlis bekerjasama, saya yakin kita dapat mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU