SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) giat melaksanakan kerja mengecat parkir kenderaan sebagai inisiatif untuk memastikan tempat letak kereta yang mencukupi, sistematik dan mesra pengguna kepada orang ramai.
Pengerusi MDS, Wong Zee Yeng berkata, usaha itu juga bertujuan memudahkan pengemaskinian rekod maklumat dan data lot tempat letak kereta khasnya bagi permit sewaan perniagaan dan sebagainya.
“Langkah ini memudahkan kerja pemantauan dan penguatkuasaan lalu lintas dan tempat letak kereta selain menyediakan keselesaan kepada pemilik kenderaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketika ini MDS belum menguatkuasakan parkir berbayar meskipun Pengangkutan Jalan ( Penyediaan Tempat Letak Kereta )sepatutnya dikuatkuasa pada 1 Julai 2007.
Bagaimanapun katanya, MDS masih menunggu arahan selanjutnya untuk mengguna pakai ‘Uniform Parking Order 2024’ yang akan dilaksanakan di seluruh Sarawak.





