ARTIKEL

BERCAKAP... Datuk Dr Jeniri Amir menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sesi Libat Urus Suara Sarawak dan Sarawak Tribune bersama KDN, di sini, hari ini.

Media mesti peka isu sensitif demi keharmonian negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hubungan kerjasama erat antara media dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) penting untuk memastikan organisasi media memahami dengan jelas garis panduan serta peranan mereka dalam menerbitkan laporan yang bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir, berkata sesi libat urus itu memberi ruang dialog terbuka antara media dengan KDN bagi menjelaskan batas undang-undang serta tanggungjawab wartawan dan editor.

“Taklimat yang diberikan oleh Ketua Seksyen Regulatori Penerbitan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN, Sahubar Ibrahim Ismail Gani, penting untuk mengingatkan kami tentang garis panduan yang perlu dipatuhi.

“Justeru, kami amat menghargai kehadiran beliau kerana sudi menyampaikan ceramah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada taklimat Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bersama KDN di sini.

Menurut beliau, taklimat berkenaan diadakan susulan isu besar melibatkan organisasi media tempatan beberapa bulan lalu yang tular di seluruh negara.

“Sejujurnya, pengalaman disiasat bukan sesuatu yang menyenangkan. Saya sendiri tidak dapat tidur, begitu juga rakan saya.

“Walaupun ia tidak disengajakan, kesilapan sebegitu tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya, garis panduan yang ditetapkan KDN bukan bertujuan menyekat kreativiti media, sebaliknya berfungsi sebagai landasan yang membantu wartawan dan editor memahami batas yang perlu dijaga dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

“Garis panduan itu bukan halangan. Ia umpama pagar yang menyelamatkan kita daripada keluar dari sempadan dan akhirnya mencetuskan masalah rumit.

“Kita harus peka dengan isu sensitif seperti raja, agama, kaum dan hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Beliau menekankan bahawa setiap individu dalam organisasi media iaitu wartawan, subeditor, editor dan ketua editor perlu bertindak sebagai ‘gatekeeper’ yang bertanggungjawab, bukan hanya mengejar kecepatan penerbitan semata-mata.

“Ketua editor tidak mampu melihat setiap halaman setiap hari.

“Jadi, semua warga bilik berita perlu menjadi ‘gatekeeper’ yang bertanggungjawab dan sentiasa sedar akan kesan setiap maklumat yang disiarkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang kesalahan fakta boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kredibiliti organisasi media.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lalu.

Pisang tidak seharusnya berbuah dua kali.

“Jika berlaku lagi, memang wajar tindakan tegas diambil.

“Sebab itu penting untuk kita semua berhati-hati dan memahami sepenuhnya garis panduan serta undang-undang yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Beliau berkata kehadiran KDN pada sesi tersebut amat membantu dalam memperjelas peraturan yang perlu dipatuhi, sekali gus menjadi peringatan kepada semua supaya tidak mengulangi insiden yang boleh menjejaskan kredibiliti media. — NUR AMIRAH FATINI ( Pelatih UniSZA )

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi