KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau pihak ketiga untuk menawarkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.
MEITD dalam kenyataan berkata, ia termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, sebarang kenyataan rasmi berkaitan skim tersebut hanya akan dikeluarkan oleh MEITD melalui saluran komunikasi rasmi Kerajaan Sarawak.
Justeru, pihak kementerian memandang serius aduan berhubung tindakan segelintir pihak yang menjanjikan peluang pendidikan percuma dengan mengenakan bayaran atau imbuhan tertentu kepada orang awam.
Tindakan ini adalah tidak sah dan disifatkan sebagai cubaan penipuan, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, MEITD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati menipu atau menyalahgunakan nama kementerian dan Kerajaan Sarawak bagi tujuan peribadi.
Sehubungan itu, pihak kementerian menggesa orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran sedemikian.
Sentiasa berwaspada terhadap individu atau pihak yang mengaku mewakili kerajaan dalam urusan berkaitan pendidikan percuma.
Sebarang keraguan atau percubaan penipuan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan, tegasnya.
Untuk rekod, skim tersebut akan bermula pada 2026 dan terbuka kepada rakyat Sarawak serta terpakai untuk pendaftaran baharu dan semua pelajar sedia ada mulai tahun depan.
Ia melibatkan institusi pengajian tinggi milik Sarawak termasuk Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
Antara program yang diluluskan merangkumi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Undang-undang, Perubatan, Perakaunan dan Kewangan.
Skim ini meliputi yuran pengajian percuma dengan elaun sebanyak RM15,000 setahun untuk pelajar daripada isi rumah dengan pendapatan per kapita RM1,500 sebulan atau kurang.

