SIBU: Seorang mekanik tempatan berusia lingkungan 40-an kerugian sebanyak RM317,048 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan perniagaan barang perhiasan wanita melalui laman web tidak beretika.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa mengenali seorang wanita melalui aplikasi Facebook pada 13 Jun lalu sebelum ditawarkan untuk menyertai perniagaan sambilan dengan janji pulangan komisen sebanyak 10 peratus.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat 21 kali transaksi ke dalam 10 akaun bank berbeza antara 13 Jun hingga 28 Julai 2025 dengan jumlah keseluruhan RM317,048.
“Bagaimanapun, selepas beberapa percubaan untuk membuat pengeluaran wang, mangsa gagal mengakses laman web berkenaan sebelum menyedari dirinya telah ditipu,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan di platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp atau WeChat.
“Semak dulu sebelum membuat bayaran pendahuluan melalui portal SSM OBA (Online Business Alert) bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” tegas beliau.


