KUCHING: Mekanisme cuti gantian yang lebih jelas penting bagi mengelakkan pertikaian antara pekerja dengan majikan, selain memastikan hak pekerja terpelihara apabila cuti umum bertindih atau jatuh pada hari Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan) 2026 itu dapat memberikan kepastian kepada pekerja dan majikan dalam merancang jadual kerja serta urusan masing-masing.
Ordinan Cuti Umum Sarawak yang berkuat kuasa sejak 16 Disember 1946 perlu disemak bagi memastikan peruntukannya selaras dengan keperluan semasa.
Berdasarkan mekanisme yang dicadangkan, jika cuti umum jatuh pada hari Ahad, hari Isnin berikutnya menjadi cuti gantian. Jika Isnin turut merupakan cuti umum, hari Selasa pula menjadi hari gantian, kecuali ditentukan sebaliknya oleh Yang di-Pertua Negeri.
Menurut Mohamad, kejelasan undang-undang itu penting khususnya kepada pekerja sektor swasta, perusahaan kecil dan sederhana serta pekerja syif yang memerlukan kepastian mengenai kelayakan cuti dan jadual kerja.
“Keperluan operasi tidak seharusnya menyebabkan hak pekerja diabaikan atau undang-undang ditafsirkan secara sewenang-wenangnya,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau mencadangkan kerajaan menyediakan panduan ringkas mengenai penentuan cuti gantian, termasuk contoh situasi apabila dua atau lebih cuti umum bertindih atau berlaku secara berturutan.
Jabatan dan agensi berkaitan juga perlu memperluas penerangan kepada majikan serta pekerja, mengemas kini kalendar rasmi dan membuat hebahan awam sebaik sahaja pindaan berkuat kuasa.
Mohamad turut menegaskan pemantauan perlu dilaksanakan bagi memastikan pertanyaan dan aduan berkaitan pelaksanaan pindaan dapat ditangani dengan berkesan.
Menurutnya, kepastian mengenai cuti umum amat penting di Sarawak yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama, budaya dan perayaan kerana membolehkan rakyat merancang sambutan serta urusan keluarga dan kemasyarakatan.
Beliau berkata, keberkesanan pindaan itu bergantung pada kefahaman dan pematuhan pihak yang tertakluk kepada undang-undang berkenaan, selain pelaksanaan yang konsisten.
Sehubungan itu, Mohamad menyatakan sokongan terhadap RUU Cuti Umum (Pindaan) 2026 dengan menekankan keperluan menyediakan panduan jelas, penerangan menyeluruh dan pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.



