Sarawak sering dikenali sebagai negeri yang kaya dengan kepelkagaian kaum, agama dan budaya. Namun, kekuatan sebenar Sarawak bukanlah terletak pada kepelbagaian itu semata-mata, tetapi pada kemampuan masyarakatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling menghormati, membantu dan memahami antara satu sama lain.
Keadaan ini tidak lahir secara kebetulan. Generasi terdahulu telah melalui pelbagai fasa sejarah yang membentuk cara mereka melihat kehidupan. Dari zaman pemerintahan wakil Kesultanan Brunei di Sarawak, era Brooke, pentadbiran British, sehinggalah pembentukan Malaysia, masyarakat Sarawak telah menyaksikan sendiri bagaimana konflik dan perpecahan hanya membawa kerugian kepada semua pihak. Pengalaman tersebut mengajar mereka bahawa keamanan dan kerjasama jauh lebih bernilai daripada persengketaan yang berpanjangan.
Mungkin sebab itulah ramai masyarakat terdahulu memilih untuk membuka jiwa dan memandang lebih jauh daripada perbezaan kaum, agama dan budaya. Mereka memahami bahawa pada akhirnya, setiap manusia mengimpikan perkara yang hampir sama. Kita mahu hidup dalam keamanan. Kita mahu membesarkan anak-anak dengan baik. Kita mahu mencari rezeki yang halal. Kita mahu menikmati kesejahteraan, kebahagiaan dan kemakmuran bersama.
Sepanjang hidup saya di Sarawak, saya banyak menyaksikan sendiri nilai-nilai ini diamalkan dalam kehidupan harian.
Saya pernah melihat seorang warga emas Iban menawarkan tempat duduk kepada saya di klinik tanpa mengenali siapa saya. Saya pernah menerima bantuan daripada rakan-rakan Bidayuh dan Lun Bawang yang membantu saya dalam urusan perniagaan sehingga membuatkan saya benar-benar terharu. Saya juga pernah melihat seorang peniaga Cina membantu membaiki telefon yang dijangkiti virus tanpa meminta sebarang bayaran daripada seorang mak cik Muslim.
Perkara-perkara seperti ini mungkin kelihatan kecil kepada sesetengah orang. Namun, hakikatnya nilai kemanusiaan sering terserlah melalui tindakan yang kecil. Bantuan yang diberikan bukan kerana persamaan agama atau bangsa, tetapi kerana seseorang itu melihat individu lain sebagai manusia yang memerlukan pertolongan.
Apa yang lebih menarik ialah hubungan persahabatan yang terbina merentasi pelbagai latar belakang. Tidak sukar untuk melihat ibu-ibu Muslim dan bukan Muslim berkongsi pengalaman membesarkan anak dalam kumpulan komuniti yang sama. Tidak pelik untuk melihat jiran berlainan agama saling bertukar juadah ketika perayaan. Tidak janggal untuk melihat masyarakat pelbagai kaum duduk semeja dan berbincang tanpa rasa curiga.
Sudah tentu Sarawak bukanlah tempat yang sempurna. Di mana-mana pun ada kelemahan dan cabaran tersendiri. Ada juga individu yang melakukan kesilapan atau menyalahgunakan kuasa. Namun masyarakat umumnya cenderung menilai seseorang berdasarkan tingkah laku dan akhlaknya, bukan semata-mata berdasarkan bangsa atau agamanya.
Dalam masyarakat kita, ada satu kefahaman yang tidak tertulis. Jika seseorang sentiasa berbuat baik kepada orang lain, masyarakat akan menghargainya. Jika seseorang sentiasa menimbulkan masalah dan menyakiti orang di sekelilingnya, masyarakat mungkin tidak membalas kejahatan itu, tetapi mereka akan menjauhkan diri. Malah, sering kali masih ada individu yang terus menunjukkan belas kasihan walaupun pernah disakiti.
Nilai ini paling jelas dapat dilihat ketika berlaku kematian. Saya jarang mendengar masyarakat memulaukan jenazah hanya kerana perselisihan yang pernah berlaku. Sebaliknya, saat kematian sering menjadi detik yang menyatukan kembali hubungan yang pernah renggang. Orang datang membantu keluarga yang berduka, menyediakan makanan, menguruskan urusan pengebumian dan memberikan sokongan moral. Pada saat itu, manusia kembali menyedari bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk dipenuhi dengan kebencian yang tidak berkesudahan.
Mungkin inilah warisan paling berharga yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu kepada kita. Mereka mengajar bahawa perbezaan tidak semestinya menjadi punca perpecahan. Sebaliknya, perbezaan boleh menjadi kekuatan apabila diuruskan dengan hikmah dan rasa hormat.
Hari ini, ketika dunia semakin mudah dipengaruhi oleh sentimen yang memecah-belahkan masyarakat, kita perlu bertanya kepada diri sendiri. Adakah setiap perbezaan perlu dipertikaikan? Adakah setiap perkara yang tidak sama perlu dijadikan alasan untuk bermusuhan?
Bukankah ada perkara yang lebih besar yang sedang menanti kita?
Kita mahu anak-anak yang berjaya. Kita mahu masyarakat yang selamat. Kita mahu ekonomi yang berkembang. Kita mahu kehidupan yang tenang. Kita mahu kebahagiaan yang dapat dinikmati bersama.
Jika matlamat kita sama, mengapa perkara-perkara kecil yang tidak membawa manfaat perlu dibiarkan mengganggu impian yang lebih besar?
Generasi terdahulu telah menunjukkan jalannya. Mereka memilih keamanan daripada permusuhan. Mereka memilih kerjasama daripada prasangka. Mereka memilih untuk melihat manusia sebagai jiran, sahabat dan rakan seperjuangan sebelum melihat label yang membezakan mereka.
Mudah-mudahan kebijaksanaan itu terus diwarisi oleh generasi akan datang. Kerana pada akhirnya, yang akan kekal bukanlah perbezaan yang kita pertahankan, tetapi kebaikan yang kita tinggalkan kepada sesama manusia. – Oleh : Sheril Aida Binti Sulainan



