Melissa pernah hidup susah

DI SEBALIK wajah cantik penyanyi yang terkenal dengan lagu Pengidup Aku dan kini usahawan wanita berjaya, siapa sangka Melissa Francis suatu ketika dahulu pernah hidup susah.
Melissa berkongsi serba sedikit cerita kehidupannya sewaktu di alam remaja di laman Facebooknya 5 Januari lalu.
“Saya pernah menangis melihat kawan memakai pakaian cantik sewaktu hari penyampaian hadiah.
Kawan perempuan memakai pakaian cantik, saya seorang saja yang memakai baju singlet, seluar pendek dan selipar.
“Ada orang pernah gelak saya, pada masa itu saya meningkat remaja cuba memakai pakaian wanita.
Mereka gelak sebab pakaian saya agak ketinggalan zaman.
Saya pakai baju lama mak masa itu. Saya pakai baju mak sebab tidak mampu beli baju baharu,” katanya.
Melissa berkata lagi, apabila dia terpilih wakil kadet polis semasa tingkatan tiga untuk ke Melaka, dia memakai baju dan kasut sukan bapanya sebab keluarganya ketika itu tidak berkemampuan dan adik beradiknya masih kecil.
Mencerita lanjut, dia terpaksa mengikat kasut sukan tersebut dengan kuat sebab besar dan hanya diberi duit poket RM50 untuk dua perbelanjaan selama dua minggu.
Dengan pengalaman kehidupan yang susah, Melissa nekad mengubah nasib kehidupannya.
“Tiada yang mustahil sekiranya sentiasa berdoa untuk apa-apa yang kita impikan.
“Doa dan impian yang diiringi usaha, rajin, tekun, disiplin, jujur, ikhlas dan tidak mudah putus asa membuahkan hasil.
“Saya pernah berkata pada bapa ‘abak, aku ngai idup susah’.
Kata-kata ini aku pegang sampai sekarang,” tegasnya.
Melissa berkongsi lagi, banyak lagi kisah sedih yang membuatkan untuk kuat dan tidak lagi mahu hidup susah.
“Hidup kita susah atau senang itu pilihan kita sendiri.
Kalau kita pandai sekolah itu bonus, kalau kita tak berapa pandai dalam akademik kita kena rajin.
Ini semua pengalaman hidup Melissa Francis.
Semoga kita semua dibukakan pintu rezeki yang luas,” ujarnya.

Suara Sarawak