KUCHING: Masyarakat Islam di Sarawak diseru untuk mempraktikkan ibadah membaca al-Quran, menghayati kandungannya dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, amalan itu hendaklah diamalkan supaya kita dapat menguasai ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk melakukan ibadah dengan betul dan sempurna.

“Tanpa ilmu pengetahuan yang mencukupi, besar kemungkinan ibadah yang kita laksanakan tidak memenuhi syarat dan menyimpang daripada syariat Islam yang sebenarnya.
“Ibadah yang bercanggah dengan syariat Islam ini tidak akan diterima di sisi Allah, bahkan akan menjadi suatu amalan yang sia-sia. Ibadah juga tidak sepatutnya terhad kepada fardu ‘ain dan fardu kifayah sahaja, ia adalah pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program World Quran Hour 2023 anjuran Pustaka Negeri Sarawak di Masjid Darul Hana, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, amalan bermasyarakat, kehidupan berkeluarga, usaha mencari rezeki dan semua aspek kehidupan kita haruslah sentiasa berlandaskan kepada ilmu pengetahuan yang kukuh dan betul demi mencapai status umat terbaik.
Dalam pada itu katanya, bulan Ramadan merupakan masa paling sesuai untuk umat Islam berusaha mendekatkan diri dengan al-Quran melalui aktiviti-aktiviti bertadarus, mentadabur dan juga berdiskusi tentangnya.
“Al-Quran juga merupakan mukjizat yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad sebagai panduan hidup untuk seluruh umat Islam. Marilah kita memanfaatkan mukjizat yang kita warisi ini dalam usaha untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
“Saya juga menyeru agar masyarakat Sarawak terus menanam sikap istiqamah dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah telah kurniakan kepada negeri yang kita cintai ini. Dekatkanlah diri kepada al-Quran, bacalah dan pelajarilah isi kandungannya, supaya kita dapat menjadi khaira ummah,” tegasnya.
Program World Quran Hour diadakan secara fizikal itu berlangsung serentak di seluruh dunia pada semalam, bersamaan dengan 22 Ramadan 1444H. Ia merupakan sebuah gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.
Antara program yang akan diadakan adalah tadabbur Surah Al-Insan oleh Mufti Negeri Sarawak Datuk Kipli Yassin; bacaan Al-Quran, Surah Al-Insan oleh Hadi Mohd Sharkawi (Johan Tilawah Al-Quran Negeri Sarawak 2023) dan persembahan nasyid/Qasidah serta lain-lain.


